Murnaena Muhammad Nasir

Beaufort: Bukan saja berkebolehan melukis potret menggunakan tangan kanan dan kiri serentak, tetapi pemuda ini mampu menghasilkan karya menggunakan jari-jemari sepenuhnya.

Teknik lukisan luar biasa itu dikongsikan Jefriddin Sulaiman, 38, di aplikasi TikTok dan berjaya menarik perhatian warganet sehingga meraih lebih satu juta tontonan setakat ini.

Menerusi perkongsian itu, Jefriddin melukis dengan melekatkan pen marker di tiga jari pada kedua-dua belah tangannya untuk menghasilkan enam potret individu sama dengan pelbagai ekspresi muka.

Berkongsi lanjut, dia yang juga guru di Sekolah Agama Negeri Kampung Kelias, Sabah berkata, lukisan menggunakan jari-jemarinya itu mengambil masa dua jam untuk dihasilkan.

"Makan masa juga untuk mahir melukis guna cara itu tetapi saya memang suka beresperimen dalam menghasilkan sebuah lukisan agar ia nampak unik dan lain daripada yang lain.

"Potret dalam bentuk silhouette sebenarnya lebih mudah dihasilkan berbanding potret sebenar yang boleh memakan masa lebih lima jam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Teknik lukisan luar biasa Jefriddin sebelum ini juga pernah tular apabila dia menggunakan peralatan berkebun seperti cangkul, sabit dan pencakar tangan untuk menghasilkan sebuah potret.

Menurutnya, konsep penggunaan alatan kebun itu bertujuan mencerminkan jati dirinya yang sebenarnya adalah seorang anak petani.

"Saya sering mengikuti ayah saya ke kebun kelapa sawit jadi sabit dan cangkul itu memang biasa saya pegang.

"Dari situlah timbul idea untuk melukis menggunakan alatan kebun itu dan lama-kelamaan saya bereksperimen menggunakan pelbagai barangan yang berbeza pula," katanya yang menetap di Kampung Rancangan Klias di sini.

Menurutnya, melukis sudah menjadi hobinya sejak kecil lagi dan isteri, Dwi Susanti Sumbogo, 32, antara insan yang sentiasa menyokongnya dalam menghasilkan lebih banyak teknik lukisan unik.

"Lepas kahwin, isteri lihat banyak hasil lukisan saya di rumah dan dia sendiri cadangkan untuk saya buat saluran Youtube, JEFF ART pada awal 2020 lalu kerana katanya sayang jika bakat saya disimpan begitu saja.

"Akaun TikTok pula baru dibuat Julai lalu, Alhamdulillah sambutan begitu baik sekali sehingga saya mampu jana pendapatan melaluinya," katanya yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik.

Menurutnya, dia merancang menghasilkan lebih banyak kelainan dalam teknik lukisannya selepas ini seperti menggunakan api dan benang.

Antara hasil potret dengan teknik lukisan unik yang dihasilkannya termasuklah lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia serta penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 8:00 PM
Jefriddin menunjukkan cara dia melukis menggunakan jari-jemarinya untuk beberapa lukisan secara serentak. Foto Ihsan Jefriddin Suliman
Jefriddin menunjukkan cara dia melukis menggunakan jari-jemarinya untuk beberapa lukisan secara serentak. Foto Ihsan Jefriddin Suliman