ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat penuntut yang ditemui maut dalam Gua Lele, daerah Pangkalan, di Karawang, Jawa Barat. FOTO ihsan BASARNAS
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat penuntut yang ditemui maut dalam Gua Lele, daerah Pangkalan, di Karawang, Jawa Barat. FOTO ihsan BASARNAS
Agensi

TIGA penuntut universiti maut selepas cuba menyelamatkan lima rakan mereka yang terperangkap selepas sebuah gua di Karawang, Jawa Barat, banjiri air akibat hujan lebat, semalam.

Sebelum kejadian, sekumpulan penuntut dari Universiti Singaperbangsa Karawang, masuk ke gua berkenaan Ahad lalu, ketika aktiviti menjelajah anjuran kelab pencipta alam.

Ketua penyelamat Bandung, Deden Ridwanshah berkata, tiga mangsa itu maut dipercayai kelemasan akibat kekurangan oksigen selepas panik.

Seorang pelajar, Ari Alfian berkata, keadaan cuaca baik ketika mereka memasuki gua berkenaan namun tiba-tiba hujan lebat kira-kira jam 1 tengah hari.

“Air memasuki gua seperti air terjun menyebabkan lima penuntut terperangkap.

“Tiga lagi penuntut masuk ke dalam gua berkenaan untuk menyelamatkan mereka tetapi turut terperangkap. Hanya lima daripada mereka terselamat,” katanya kepada AFP.

Menurut Jakarta Post, mangsa yang maut dikenali sebagai Erisa Rifan, Alief Rindu dan Ainan Fatimatuzahro.

Erisa dan Alief adalah penuntut Institut Latihan Perguruan di Bogor manakala Ainan pelajar perubatan dari Banjarnegara.

Pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebelum berjaya membawa keluar lima penuntut pelajar yang terperangkap dalam Gua Lele itu.

Bagaimanapun, tiga lagi penuntut disahkan maut ketika ditemui.

Pasukan penyelamat sampai ke lokasi jam 9.20 malam tetapi berdepan kesukaran kerana gua yang sempit dan jarak yang jauh antara pintu masuk gua ke lokasi mangsa terperangkap.

Pasukan itu menemui mayat pertama pada jam 4.25 pagi semalam manakala mayat terakhir dibawa keluar sekitar 6 pagi.

“Mereka terperangkap di dalam gua sebelum pasukan penyelamat sempat mengeluarkan mereka,” kata jurucakap agensi penyelamat, Seni Wulandari.

Menurutnya, pasukan penyelamat mengambil masa sejam untuk masuk ke dalam gua sedalam 30 meter di bawah tanah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:10 AM