Anggota bomba menyelamatkan lima lelaki india yang terperangkap apabila kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ketika banjir kilat. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba menyelamatkan lima lelaki india yang terperangkap apabila kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ketika banjir kilat. FOTO IHSAN JBPM
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lima lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dinaiki dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berusia antara 45 hingga 50-an itu berjaya diselamatkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata pihaknya menerima panggilan jam 2.15 petang memaklumkan terdapat lima lelaki terperangkap dan berada di atas saluran pembentung.

"Mangsa dipercayai cuba mengharungi arus deras ketika banjir kilat di kawasan berkenaan, menyebabkan kenderaan itu dihanyutkan arus deras.

"Bagaimanapun, mereka berjaya keluar dari kenderaan dan berpaut pada saluran pembentung serta naik ke atas pembentung konkrit dan terperangkap.

"Kedalaman air di sekitar pembentung terbabit adalah lebih dua meter," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nor Azizi berkata, ketika tiba tempat kejadian seorang mangsa sudah dibawa keluar oleh pihak polis dan empat lagi masih terperangkap.

"Saya bersama dua lagi anggota dengan kelengkapan Personal Floating Divice (PFD) berenang bagi menyelamatkan kesemua mangsa.

"Seorang daripada mangsa hampir mengalami hypotermia. Sebaik dipakaikan PFD, mereka diiringi berenang ke tebing bukit sebelum meredah semak untuk keluar ke kawasan selamat," katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dilaporkan.

Terdahulu media melaporkan beberapa kawasan di bandar ini dinaiki air susulan hujan lebat berterusan selama satu jam setengah bermula jam 1.30 tengah hari.

Antara kawasan terbabit adalah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru, persimpangan lampu isyarat berdekatan restoran makanan segera dan Taman Tropika di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 8:28 PM