Siraj Mohd Zaini


BESAR harapan setiap penumpang yang menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing ketika Aidilfitri tahun ini dapat tiba dengan selamat dengan pengangkutan awam itu.

Namun, segelintir pemandu bas yang mengabaikan peraturan dan undang-undang jalan raya mempertaruhkan nyawa penumpang di atas sikap tidak berhemah mereka.

Belum pun 15 minit perjalanan dari Terminal 17 di sini menuju ke Melaka Sentral, Melaka, kelmarin, pemandu bas sudah melanggar lampu isyarat merah yang juga satu daripada enam kesalahan utama yang memperuntukkan kompaun maksimum RM300.

Itu antara sikap cuai seorang pemandu bas ekspres yang sempat dirakam wartawan Harian Metro ketika menyertai operasi penyamaran bersama anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam bas berkenaan.

Bas yang dinaiki kira-kira 20 penumpang itu tiba di Terminal 17 jam 9.15 pagi sebelum memulakan perjalanan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Utara-Selatan untuk menuju ke Melaka.

Bermula dari terminal sehingga memasuki lebuh raya, pemandu bas berkenaan dilihat khusyuk bercakap di telefon bersama rakannya kira-kira satu jam.

Meskipun bercakap menggunakan earphone, tindakan lelaki berusia 35 tahun itu sedikit sebanyak menjejaskan pemanduannya apabila dia melanggar lampu isyarat merah ketika tiba di Persiaran Teknologi Subang untuk memasuki Lebuhraya Elite.

Tidak menunggu lama, lelaki itu kemudian melakukan kesalahan kedua apabila memandu di lorong kanan secara berterusan.

Pemantauan wartawan yang berada di tempat duduk belakang pemandu itu mendapati bas berkenaan dipandu kira-kira 20 kilometer (km) dengan berada di lorong lebuh raya terbabit.

Biarpun keadaan ketika pagi itu di lebuh raya dalam keadaan baik, lelaki itu tetap tidak memandu bas berkenaan di lorong paling kiri seperti yang disyaratkan di dalam peraturan lalu lintas.

Sebaik tiba di Terminal Melaka Sentral dan menurunkan penumpang lain, anggota JPJ kemudian menunjukkan kad kuasa dan mengarahkan pemandu bas terbabit menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu.

Ketika disoal anggota penguat kuasa, lelaki itu memberitahu terlambat untuk tiba di perhentian seterusnya iaitu di Muar, Johor menyebabkan dirinya ‘lupa’ untuk berhenti ketika lampu isyarat merah.

Katanya, dia menyedari anggota JPJ menyamar sebagai penumpang di dalam bas berkenaan namun tiada alasan untuk dirinya tidak menerima dua notis kompaun kerana disertakan bukti setiap kesalahannya.

“Saya terlambat sedikit disebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu pagi di bandar Shah Alam, jadi perlu segera untuk tiba ke Muar untuk mengambil penumpang di sana.

“Mengenai lampu isyarat merah, saya tidak perasan dan memandu di lorong kanan juga mungkin sudah jadi kebiasaan ketika lebuh raya tidak sesak namun saya tahu ia adalah kesalahan yang tidak seharusnya dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, penyamaran wartawan bersama anggota JPJ diteruskan ketika perjalanan pulang dari Melaka Sentral ke Terminal 17 kira-kira jam 2.30 petang.

Pemandu bas berusia 41 tahun itu juga dikesan melakukan kesalahan biasa iaitu memandu di lorong kanan secara berterusan ketika di Lebuhraya Elite.

Dia juga tidak dapat mengelak apabila turut menerima satu notis daripada anggota penguat kuasa JPJ ketika tiba di Terminal 17 sebaik semua penumpang diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 7:00 AM