KHAIRUL Khar (dua dari kanan) beramah mesra bersama penumpang bas ekspres sempena Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Bas Sesyen 17 hari ini. FOTO Bernama.
KHAIRUL Khar (dua dari kanan) beramah mesra bersama penumpang bas ekspres sempena Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Bas Sesyen 17 hari ini. FOTO Bernama.
Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Sebanyak 23 kawasan 'panas' yang kerap berlaku kemalangan diberi tumpuan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina 2023 (Op TBC).

Pengarah JPJ Selangor Datuk Khairul Khar Yahya berkata, seramai 325 anggota penguat kuasa ditugaskan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang operasi yang bermula hari ini sehingga 27 Januari ini.

Menurutnya, antara lokasi diberi tumpuan adalah Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite); Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

"Penumpuan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama dan lima kesalahan tambahan termasuk memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengikut rapat kenderaan hadapan dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

"Kesalahan lain adalah tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu secara berbahaya, memandu tanpa lesen dan insuran kenderaan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Op TBC di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam di sini, malam ini.

Khairul Khar berkata, Op TBC 2023 turut dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarikat konsesi lebuh raya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di terminal dan depoh bas, serta meletakkan anggota di dalam bas melalui penyamaran sebagai penumpang.

Kata beliau, taktik penyamaran itu dilakukan bagi memantau tingkah laku pemandu bas sepanjang perjalanan dan sekiranya mereka melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan.

Katanya, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu kenderaan perkhidmatan awam itu adalah memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300 kilometer atau empat jam perjalanan.

"Ada juga pemandu bas yang merokok, tidak memakai kasut dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, malah kita juga pernah mengesan pemandu bas yang bermain 'game' semasa memandu.

"Perbuatan mereka itu amat membahayakan keselamatan penumpang dan boleh mengakibatkan kemalangan," katanya.

Justeru, katanya, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu bas mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 11:27 PM