ORANG ramai memakai topi keledar yang diberi percuma pada Kempen Keselamatan Kawasaki 2017 di Plaza Tol Sungai Besi (arah selatan), semalam.
ORANG ramai memakai topi keledar yang diberi percuma pada Kempen Keselamatan Kawasaki 2017 di Plaza Tol Sungai Besi (arah selatan), semalam.
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan akan meningkatkan metodologi penguatkuasaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama membabitkan pengangkutan awam seperti bas.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan menggunakan kepakaran dan penguatkuasaan undang-undang agensi berkaitan menerusi kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau berkata, pihak berkuasa mengadakan rondaan penguatkuasaan di lebuh raya dan jalan utama negeri di seluruh negara. Kenderaan diperiksa secara rawak untuk meningkatkan persepsi penguatkuasaan di lokasi sesuai yang tidak membahayakan serta tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, pihaknya menjalankan pemeriksaan bas di terminal utama di seluruh negara bagi menguatkuasakan undang-undang berhubung peraturan pemandu kedua, buku log dan pemanduan melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam selain menjalankan pemeriksaan keadaan brek dan tayar bas ekspres yang melakukan perjalanan melebihi 300 kilometer atau empat jam.

“Pegawai JPJ menyamar sebagai penumpang bas ekspres untuk mengesan pemandu bas yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Penguatkuasaan penyamaran bergambar dilakukan di kawasan kerap berlaku perlanggaran undang-undang yang menyumbang kepada kemalangan dengan kesalahan diberi tumpuan seperti gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kawasaki 2017 di Plaza Tol Sungai Besi (arah Selatan) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, Pengarah Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Yahaya serta Pengurus Besar dan Pengarah Kawasaki Motors Malaysia, Datuk Jeffrey Lim.

Mengulas mengenai cadangan Makmal Bas supaya had umur pemandu bas ekspres dikaji semula, Liow berkata, pihaknya tidak menetapkan had umur ketika ini dan bergantung kepada syarikat bas menentukannya.

“Kementerian Pengangkutan memberi cadangan bernas mengawal selia bas ekspres dalam Makmal Bas ini dan kami mengutamakan pemandu bas lulus pemeriksaan kesihatan berbanding penetapan umur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:21 AM