HASBI Habibollah beramah mesra bersama pengguna lebuh raya. FOTO Bernama
HASBI Habibollah beramah mesra bersama pengguna lebuh raya. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2023 (HRAA) akan memberi penekanan terhadap sembilan kesalahan utama sering dilakukan pengguna jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan (MOT) Datuk Hasbi Habibollah berkata, operasi khas itu dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang ingkar undang-undang trafik.

"Sembilan kesalahan utama itu adalah memandu melebihi had laju, gagal patuh lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju.

"Selain itu, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak pakai topi atau tali pinggang keledar, lebih muatan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu," katanya ketika sidang media Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2023 (HRAA) di Plaza Tol Gombak di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, JPJ juga melaksanakan pemeriksaan bas di 28 terminal bas seluruh negara bagi memastikan kenderaan itu berada di tahap terbaik sebelum membawa penumpang.

Menurutnya, JPJ juga akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara samaran oleh anggota di atas bas-bas terbabit.

"Ia bertujuan memastikan bas sentiasa berada dalam keadaan 'roadworthiness' untuk membawa para penumpang.

"Menerusi kempen dan ops khas ini, jelaslah bahawa pihak kerajaan amnya dan MOT serta JPJ khasnya amat serius dalam mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 5:02 PM