Aizat Sharif

Kangar: Pengusaha syarikat bas ekspres di Perlis diingatkan tidak sesekali beroperasi menggunakan kenderaan yang didapati tayarnya sudah rosak atau 'botak' terutama pada musim Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya giat meningkatkan lagi pemeriksaan rambang terhadap penggunaan tayar bas ekspres yang tidak diselenggara dengan baik.

"Pemeriksaan kita mendapati sekiranya bas ekspres yang digunakan itu didapati menggunakan tayar yang kurang daripada lebar 1.6 milimeter (mm) maka ia tidak dibenarkan bergerak.

"Berdasarkan pemeriksaan yang kita lakukan, ada kes sebuah bas ekspres yang baru hendak bergerak meninggalkan Terminal Bas Jalan Bukit Lagi, Kangar terpaksa ditahan dan dihentikan perjalanannya kerana didapati tayar bas berkenaan sudah 'botak' serta besi dawai yang berada dalam tayar itu terkeluar.

"Situasi ini sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya kerana seperti yang kita ketahui, tayar seperti ini bila-bila masa sahaja boleh meletup atau pancit dan serpihan tayar botak ini banyak bertaburan di atas lebuh raya sehingga membahayakan serta boleh mengakibatkan kemalangan bukan sahaja pada bas itu tetapi pada pengguna jalan raya lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan sekatan jalan raya (SJR) sempena Ops Tahun Baharu Cina 2022 di Jalan Raja Syed Alwi di sini, semalam.

Katanya, lazimnya sekiranya perkara seperti itu didapati berlaku, pemandu bas itu akan diarahkan berhenti dan perjalanan bas itu tidak boleh diteruskan selagi tayar yang 'botak' tidak diganti dan tidak memperoleh slip akuan pemeriksaan daripada JPJ untuk meneruskan perjalanan.

"Dalam masa sama juga, bagi mengekang sikap pemandu bas ekspres yang suka memandu laju melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, kita juga akan menempatkan anggota kita di dalam bas ekspres secara rambang untuk melihat kelakuan pemandu dalam membawa bas.

"Ops penyamaran ini dilakukan secara rambang dengan meletakkan seorang atau dua orang anggota menaiki bas yang menuju ke destinasi dituju untuk meninjau sebarang kesalahan dilakukan oleh pemandu bas ini," katanya.

ANGGOTA JPJ menjalankan pemeriksaan di Jalan Raja Syed Alwi. FOTO Aizat Sharif
ANGGOTA JPJ menjalankan pemeriksaan di Jalan Raja Syed Alwi. FOTO Aizat Sharif

Fatimah berkata, bersempena Tahun Baru Cina ini juga, pihaknya memberi fokus dan tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama seperti memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas seperti lampu isyarat merah.

"Selain itu antara kesalahan lalu lintas yang lain adalah memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, membawa lebih muatan serta membawa muatan bahaya.

"Ops Tahun Baharu Cina 2022 akan dijalankan selama dua minggu dari 25 Januari sehingga 8 Februari hadapan dimulakan dengan pemeriksaan bas di depoh atau hentian bas.

"Selain itu juga, tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan pula ditetapkan adalah pada 30 sehingga 31 Januari hadapan bagi tempoh sebelum perayaan dan 3 sehingga 4 Februari hadapan iaitu tempoh selepas perayaan," katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi undang-undang ini termasuk didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:16 PM