Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS 14 tahun, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali mengadakan konsert di Royal Albert Hall London pada 22 April tahun depan sempena Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour.

Siti berkata, konsert itu menjadi persembahan jelajah terbesar di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan United Kingdom.

“Tahun depan saya meraikan ulang tahun ke-24 dalam bidang seni. Menjadi sesuatu yang penting buat saya untuk membina legasi karier yang tak mungkin dilupakan secara peribadi dan juga industri muzik tempatan.

“Saya juga berhasrat untuk merapatkan jurang antara budaya dan bahasa melalui muzik. Saya mahu anda mengembara bersama saya melalui muzik ini kerana akhirnya bersedia untuk dunia mendengar suara saya.

“Konsert ini berbeza daripada kebanyakan konsert sebelum ini sekali gus menjadi konsert jelajah terbesar saya. Disebabkan itu, saya bermula di negara jiran Indonesia dan Singapura. Selain Royal Albert Hall London, pihak produksi juga sedang berbincang untuk beberapa lagi lokasi ikonik lain untuk dijelajahi,” katanya.

Siti berkata, konsert itu ibarat mimpi jadi kenyataan selain menjadi hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini.

“Saya berasa teruja dan terharu di atas komitmen semua pihak dalam menjayakan konsert jelajah ini. Saya juga percaya dengan sokongan peminat setia daripada Sitizoners dan peminat semua akan menjadikan konsert ini sesuatu yang hebat,” katanya.

Konsert anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd itu juga bakal memaparkan filem dokumentari They Call Me Siti iaitu mengisahkan kehidupan Siti.

Siti Nurhaliza akan adakan konsert di London. FOTO NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Siti Nurhaliza akan adakan konsert di London. FOTO NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Filem dokumentari ini akan membawa penonton melalui perjalanan belakang tabir sepanjang konsert jelajah ini.

“Ia bakal menyaksikan bagaimana dalam kesibukan menguruskan anak, Siti Aafiyah, saya juga perlu menghadiri kelas tarian, vokal dan latihan senaman,” katanya.

Selain itu, konsert itu juga menampilkan penyanyi popular Indonesia, Tulus di tiga negara pada acara pembukaan dan persembahan duet.

Konsert di Indonesia akan diadakan di Istora Senayan, Jakarta pada 21 Februari, Singapore Expo, Singapura (2 Mac) dan Arena Axiata, Kuala Lumpur (16 Mac).

Tiket mula dijual pada 26 Disember ini menerusi www.mytickets.asia pada harga RM1295 (meet & greet), RM495 (diamond), RM355 (platinum), RM255 (gold), RM155 (silver) dan RM105 (bronze).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 5:07 PM