AFGAN
AFGAN
Najiy Jefri


Pentas bukan semata-mata sandiwara kehidupan. Bukan pula tempat menyajikan sketsa kepalsuan. Pentas adalah dunia bagi seseorang mengekspresikan diri, mengalunkan suaranya dan memaparkan jati diri, karakter serta keperibadian.

Ironinya, pentas juga adalah arena bagi seseorang menyatakan kewujudan dan mendambakan reaksi publik terhadap sesebuah karya yang diketengahkan. Terutama dalam bidang muzik kerana di situlah pemilik nama Afgansyah Reza membuktikan kemampuannya beraksi dan dilihat sentiasa mempamerkan persembahan memukau.

Maka tidak hairanlah penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu berjaya meletakkan dirinya di tempat teratas.

Hampir sedekad mencanai bakat sebagai penghibur dan mengadakan persembahan di Malaysia serta Singapura terutama di lokasi berprestij antaranya Dewan Merdeka PWTC, Istana Budaya, Plenary Hall KLCC dan Esplanade, Singapura, Afgan mengakui masih belum puas.

Jauh di sudut hati, penyanyi berusia 28 tahun ini menyimpan satu impian besar iaitu mahu kanvas seninya menjadi lebih indah.

Afgan ketika ditemui berkongsi rasa teringin mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London.

“Semua penyanyi ada impian untuk beraksi di pentas berprestij ini. Jika ada rezeki, saya mahu ikut jejak Datuk Siti Nurhaliza. Saya menonton persembahannya di sana.

“Bagi saya, apabila penyanyi Asia dapat beraksi di Albert Hall, ia pencapaian yang hebat,”katanya.

Sering menjayakan persembahan berskala besar, Afgan mengetepikan rasa penat. Bagaimanapun, selepas hampir sedekad menghiburkan peminat menerusi pilihan lagu popularnya, ada ketikanya dia rasa lelah.

“Ada cara untuk menghilangkan rasa penat. Saya memilih untuk bercuti ke luar negara jika tiada komitmen kerja.

“Pendekatan sebegini membolehkan saya berehat secukupnya dan meraih idea baru.

“Kalau nak tahu saya baru pulang bercuti di Eropah tiga minggu lalu,” katanya.

Menurut Afgan, Malaysia sudah dianggap sebagai rumah keduanya. Apa tidaknya, tahun ini saja sudah banyak kali dia menjayakan persembahan di sini.

“Setiap kali terbabit dalam persembahan mahupun konsert, peminat tidak putus-putus memberikan sokongan. Saya suka datang ke sini dan teruja bertemu peminat.

“Lagipun sokongan peminat di sini sangat luar biasa. Mereka menerima baik kehadiran saya,” katanya.

Penyanyi yang menjadikan Datuk Sheila Majid sebagai idola itu memaklumkan belum ada perancangan membeli hartanah di Malaysia meskipun kerap berulang-alik bagi memenuhi undangan persembahan.

“Sudah tidak terhitung berapa kali saya bertandang ke Malaysia tahun ini. Walaupun sudah menganggap negara ini sebagai rumah kedua, saya belum bercadang membeli kediaman di sini. Mungkin satu hari nanti,” katanya.

Konsert Terunggul Afgan & Ungu

Buat julung kalinya, Afgan dan kumpulan Ungu bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Terunggul Afgan & Ungu.

“Tak sabar rasanya mahu memberikan persembahan terbaik. Lebih mengujakan saya bakal bergabung tenaga dengan Ungu.

“Pada malam itu nanti, saya akan mendendangkan lebih 10 lagu termasuk beberapa karya yang dimuatkan dalam album baru,” katanya.

Konsert Terunggul Afgan & Ungu yang dibawakan Popcorn Studio bakal berlangsung pada 6 Oktober ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Afgan kecewa di Bali

Dalam perkembangan lain, Afgan berasa terkilan apabila ‘dihalau’ dari pentas ketika menyertai Prambanan Jazz Festival 2017 di Bali, baru-baru ini.

Rasa kecewa itu diluahkan di akaun Instagram miliknya.

“Sejak awal lagi acara itu kucar-kacir. Saya sepatutnya mengadakan persembahan pada jam 8 malam tetapi hanya dipanggil ke atas pentas dua jam kemudian.

“Lampu pentas dipadamkan, begitu juga sistem bunyi ketika saya menyanyikan lagu keempat. Ikut perjanjian asal, saya sepatutnya menyampaikan sembilan lagu.

“Memandangkan peminat sudah lama menunggu, saya tetap meneruskan persembahan,” katanya.

Afgan turut mengakui berasa sedih apabila penyanyi tempatan tidak dihargai, malah layanan yang diberikan penganjur terhadap selebriti antarabangsa jauh lebih baik.

“Kami semua sudah mencuba untuk memberikan yang terbaik di atas pentas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 3:49 AM