SITI NURHALIZA di Majlis penutup kempen Simplysiti Di Hati 2018 di Perdana Hotel Suites & On The Park, Jalan Binjai. -Foto SALHANI IBRAHIM
SITI NURHALIZA di Majlis penutup kempen Simplysiti Di Hati 2018 di Perdana Hotel Suites & On The Park, Jalan Binjai. -Foto SALHANI IBRAHIM
Syafil Syazwan Jefri


KERJAYA sebagai penyanyi tidak hanya terhad di atas pentas untuk menghiburkan peminat saja, tetapi lebih daripada itu.

Bagi Datuk Seri Siti Nurhaliza, dia menggunakan keistimewaan yang ada untuk membantu mereka yang memerlukan.

Baru-baru ini, Siti menyerahkan cek bernilai RM50,730 kepada Pengerusi Kutipan Dana Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan IJN, Datin Julini Mohd Ali.

Dana yang dikumpul menerusi kempen SimplySiti di Hati 2018 yang dilancarkan penghujung November lalu disalurkan ke tabung Yayasan IJN untuk membiayai kos pembedahan jantung tiga kanak-kanak iaitu Lam Zhe Yi, 11; Mahhaani Thayalan, 8, dan Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 5, yang akan menjalani pembedahan di IJN tidak lama lagi.

Zhe Yi akan menjalani pembedahan pada Mac, Muhammad Firas pada April dan Mahhaani pada Jun atau Julai ini.

“Kita mensasarkan jumlah kutipan dana sebanyak RM30,000. Namun apabila mendapat jumlah yang lebih banyak daripada itu, pihak kami menyumbangkan kesemuanya kepada mereka,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Anta Permana itu, ini bukanlah kali pertama pihaknya menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak yang menghidap komplikasi jantung.

“Sebelum ini, kami sudah membantu 11 kanak-kanak yang berdepan komplikasi jantung. Terima kasih juga kepada pihak IJN yang memberikan kerjasama dengan menyenaraikan nama kanak-kanak yang memerlukan bantuan untuk pembedahan segera,” katanya.

Siti Nurhaliza (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Simplysiti, Aizuddin Rahman (kiri) menyampaikan cek replika kepada Pengerusi Kutipan Dana Yayasan IJN dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan IJN,
Siti Nurhaliza (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Simplysiti, Aizuddin Rahman (kiri) menyampaikan cek replika kepada Pengerusi Kutipan Dana Yayasan IJN dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan IJN,

Tidak sekadar menyalurkan bantuan kewangan, Siti yang mengelolakan kempen SimplySiti di Hati 2018 juga menghiburkan kanak-kanak itu.

“Sebelum ini, saya melawat mereka yang akan menjalani pembedahan. Kemudian, ada juga beberapa aktiviti yang kami jalankan antaranya membawa mereka yang sudah sihat untuk ke Legoland di Johor Bahru,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menambah baik kempen ini kepada skala yang lebih besar, Siti sememangnya punya impian sebegitu.

“Saya memang ada impian untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan. Tapi, saya perlu susun satu persatu supaya fokus tidak lari.

“Dalam pada ingin membantu mereka yang memerlukan, fokus itu penting supaya kita boleh salurkan bantuan dengan penuh perhatian.

“Semuanya perlu dilakukan satu persatu-persatu,” katanya.

KERJA KERAS UNTUK KONSERT

Menjelang konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang akan berlangsung bermula 21 Februari depan, Siti juga nampaknya bekerja keras untuk memastikan persembahannya saat berada di pentas penuh kualiti.

“Sesi latihan sudah dimulakan sejak dua minggu lalu dan susunan muzik sudah disiapkan. Sesi latihan seterusnya adalah pada awal Februari nanti sehinggalah hari konsert berlangsung,” katanya.

Menurut Siti, konsert itu juga akan turut menggunakan khidmat dua pemuzik dari Amerika Syarikat.

“Dua pemuzik itu datang dari New York untuk menjalani latihan fasa pertama tempoh hari. Kemudian, mereka pulang ke sana dan menjalani latihan sendiri.

“Jumlah pemuzik yang akan tampil adalah sekitar 25 orang termasuklah band dan orkestra,” katanya.

Di acara konsert yang akan berlangsung di tiga negara itu, Siti akan mempersembahkan 20 lagu popularnya.

Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour bakal membuka tirai di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia pada 21 Februari dan seterusnya, menghiburkan peminat di Singapore Expo, SIngapura pada 2 Mac.

Siti kemudiannya akan kembali ke Malaysia untuk menutup konsert siri jelajahnya pada 16 Mac ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 8:23 AM