KONSERT Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza  terjemah pengalaman sepanjang perjalanan karier seni.
KONSERT Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza terjemah pengalaman sepanjang perjalanan karier seni.
BAWA lagu lama, lagu hits, lagu tradisional dan lagu dari album baharu.
BAWA lagu lama, lagu hits, lagu tradisional dan lagu dari album baharu.
TAMPILKAN Judika dalam konsert.
TAMPILKAN Judika dalam konsert.
Ramlah Zainal


SELEPAS lima tahun, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali beraksi menerusi Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 Mac depan.

Konsert berskala besar dengan kapasiti boleh memuatkan 10,000 penonton ini dianjurkan Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskan Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa. Siti, 45, berkata, dia akan menampilkan persembahan sesuai dengan situasi semasa kerana memahami pergolakan dan krisis di Palestin ketika ini.

Katanya, konsert ini antara platform digunakannya untuk memberi semula kepada masyarakat sama ada di dalam dan luar negara atau di Gaza, Palestin.

"Saya memilih dan mencerna idea yang bersesuaian untuk konsert kali ini serta mempunyai mesej tersendiri tanpa mengetepikan nilai komersial persembahan berskala besar.

"Keutamaan saya untuk menyalurkan semula hasil kutipan tiket ke pelbagai aktiviti kebajikan yayasan.

"Ia sejajar dengan objektif penubuhan Yayasan Nurjiwa yang memfokuskan lima misi utama bantuan iaitu kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan khas Palestin," katanya.

Ditanya pemilihan judul Konsert Sebuah Epitome pula, kata Siti, epitome membawa satu tahap di mana peminat akan melihat dirinya dari awal pembabitan dalam bidang seni sampailah sekarang.

"Menerusi epitome ini, peminat akan dapat melihat banyak pengalaman dan perjalanan saya sepanjang tempoh 28 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.

"Epitome ini persembahan lagu dan perjalanan hidup saya sebagai anak seni," katanya.

TIKET konsert habis terjual pada 21 Disember lalu.
TIKET konsert habis terjual pada 21 Disember lalu.

Segmen istimewa bersama Judika

Berkongsi konsert Epitome lagi, kata Siti, dia akan menyampaikan rangkaian hampir 30 lagu popularnya dari pelbagai genre termasuk secara medley menerusi album terdahulu sehinggalah album terbarunya, Sitism.

"Saya akan sampaikan lagu lama, lagu hits, lagu tradisional dan lagu dari album baharu. Saya mahu tampilkan konsep persembahan yang beri kenangan dan sesuatu pada penonton yang datang," katanya.

Mengenai penampilan Judika selaku artis undangan pula, kata Siti, ada segmen menarik membabitkannya bersama penyanyi popular dari Indonesia itu.

"Saya juga tampilkan sahabat saya, Judika sebagai artis undangan dalam segmen istimewa khusus untuk menyemarakkan lagi konsert ini. Kami juga akan buat persembahan duet di konsert itu nanti," katanya.

SITI bersama barisan penaja Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza.
SITI bersama barisan penaja Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza.

Konsert berdurasi selama dua jam menampilkan barisan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik, Aubrey Suwito.

Sementara itu, selaku penganjur sekali gus teraju utama konsert, Siti juga memohon maaf kepada semua peminat kerana tidak dapat buat penambahan hari atau jualan tiket konsert berkenaan.

Katanya, penambahan hari sebelum atau selepas konsert tidak boleh dilaksanakan kerana kerja teknikal dan produksi akhir dilakukan pada 8 Mac serta 10 Mac pula menghampiri Ramadan.

"Begitu juga dengan jumlah tiket terjual sudah memenuhi kapasiti kerusi penonton di Axiata Arena," katanya.

Terdahulu, penjualan tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza mencetuskan fenomena apabila habis terjual dalam tempoh dua jam pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 6:20 AM