Nor Azizah Mokhtar


ANGGOTA Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang cedera dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, awal pagi semalam dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Proses pemindahan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dibuat jam 11.30 malam tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan memindahkan Muhammad Adib diambil susulan perbincangan yang dilakukan pihaknya dengan IJN agar mangsa diberi rawatan sewajarnya.

“Hasil perbincangan dengan empat pakar di IJN, kita cadangkan Muhammad Adib dipindahkan ke sana (IJN) kerana mereka mempunyai peralatan lebih sesuai untuk rawatannya.

“Di IJN juga mempunyai satu mesin khas yang dapat menyalurkan oksigen lebih banyak ke paru-parunya, bersesuaian untuk rawatan Muhammad Adib.. satu-satunya mesin yang ada dalam negara ini,” katanya dalam sidang media di SJMC, malam tadi.

Katanya, keadaan Muhammad Adib semakin baik walaupun masih belum sedar kerana diberi sedatif, namun tekanan darahnya bertambah baik berbanding tengah hari semalam.

“Hasil perbincangan antara pakar IJN dan pakar jantung SJMC, mereka mencapai kata putus untuk memindahkan Muhammad Adib.

“Keluarganya juga bersetuju, justeru mereka pindahkan Muhammad Adib ke IJN malam ini juga,” katanya.

Difahamkan, mangsa dikatakan mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman akibat dipukul dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu.

Muhammad Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan jentera EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 12:18 AM
MUHAMMAD Adib dimasukkan ke dalam ambulan untuk dihantar ke IJN, malam tadi. Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
MUHAMMAD Adib dimasukkan ke dalam ambulan untuk dihantar ke IJN, malam tadi. Foto MUHD ZAABA ZAKERIA