Fazrik Kamarudin


ANGGOTA Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25 1 pagi hari ini, berada di dalam keadaan kritikal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di bawah pengawasan lima orang doktor pakar.

“Setakat ini Adib bergantung kepada sistem bantuan hayat, keadaannya masih di tahap kritikal, hampir keseluruhan badannya terutama bahagian dadanya dipenuhi lebam.

“Sejak dikejarkan ke hospital oleh orang awam, keadaannya masih sama sehingga semasa saya menziarahinya tadi, bacaan tekanan darahnya pula kekal berada dalam paras rendah.

“Dia mengalami kesukaran bernafas akibat tulang rusuknya yang patah menjejaskan fungsi paru-parunya,” katanya dalam sidang media di SJMC, Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Zuraida berkata, pihaknya akan menawarkan sokongan kepada mangsa dan keluarganya dari Kedah yang turut sudah berada di hospital.

“Saya cukup kesal dan dukacita dengan kejadian ini, saya bertemu dan menenangkan ahli keluarga, mereka sangat sedih dan trauma, kita sama-sama doakan yang baik-baik untuk mereka.

“Ini adalah hari yang sedih untuk kita, anggota bomba ini menawarkan perkhidmatan mereka untuk apa sahaja kecemasan, kenapa buat begini kepada anggota bomba.

“Saya minta dan berharap jangan berulang lagi episod gelap, jadilah orang yang lebih bertamadun dan jangan ulanginya,” katanya.

Sementara itu, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membaca surah Yasin di perkarangan lobi SJMC sementara menunggu perkembangan rawatan mangsa.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 1:08 PM
Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membaca Yassin sementara menunggu perkembangan rawatan anggota bomba yang diserang prusuh di Kuil Maha Mariamman, hari ini. FOTO NSTP
Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membaca Yassin sementara menunggu perkembangan rawatan anggota bomba yang diserang prusuh di Kuil Maha Mariamman, hari ini. FOTO NSTP