ANTARA daun ketum yang dirampas  AKSEM Kelantan menerusi serbuan yang dilakukan. FOTO/IHSAN AKSEM KELANTAN
ANTARA daun ketum yang dirampas AKSEM Kelantan menerusi serbuan yang dilakukan. FOTO/IHSAN AKSEM KELANTAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


KOTA BAHRU: Menggunakan kereta mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Toyota Camry dan Estima antara modus operandi digunakan sindiket pengedaran daun ketum bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sindiket terbabit dipercayai membawa bekalan dari utara, masuk ke Kelantan menerusi Jeli, Tanah Merah dan Pasir Mas tanpa melalui pos pemeriksaan pasukan keselamatan.

Mereka beranggapan kegiatan itu gagal dikesan apabila menggunakan kenderaan mewah, dengan daun ketum dijual sekitar RM70 sekilogram bagi pasaran tempatan manakala pasaran Thailand sehingga RM100 sekilogram.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan Rusli Karim berkata, sindiket terbabit agresif kerana kenderaan pasukannya beberapa kali dirempuh ketika operasi.

Katanya, sambutan terhadap daun ketum di Kelantan sejak beberapa tahun lalu amat tinggi berbanding sebelum ini kebanyakannya memilih pil kuda.

“Buktinya sepanjang tahun lalu, AKSEM Kelantan merampas 1,263 kilogram (kg) daun ketum membabitkan nilai RM92,450 dan sepanjang 10 bulan tahun ini, kami merampas 3,645.5 kg daun ketum bernilai RM154,875 iaitu peningkatan mendadak.

“Pada masa sama, sepanjang tahun ini kami melakukan 16 tangkapan serta merampas 13 kenderaan termasuk 11 kereta dan masing-masing satu kereta klon serta lori.

ANTARA daun ketum yang dirampas  AKSEM Kelantan menerusi serbuan yang dilakukan. FOTO/IHSAN AKSEM KELANTAN
ANTARA daun ketum yang dirampas AKSEM Kelantan menerusi serbuan yang dilakukan. FOTO/IHSAN AKSEM KELANTAN

“Modus operandi digunakan sindiket ketum kini menggunakan kereta mewah kerana selain mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka mampu memecut dengan laju sekiranya dikejar pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rusli berkata, kebanyakan sindiket berpangkalan di utara serta Kelantan dan setiap kali bekalan terbabit dibawa masuk, pembeli sudah siap menunggu.

“Ketika dibawa masuk, bekalan itu sudah dibungkus cantik mengikut saiz bagi memudahkan penghantaran dibuat kepada pembekal sebelum daun terbabit diproses mengikut acuan masing-masing.

“Selain di Kelantan, sambutan di Thailand juga menggalakkan berikutan daun ketum tidak ditanam di negara itu dan kita tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang menggunakan sistem barter iaitu sindiket kita memberi ketum sebelum dibalas dengan pil kuda oleh Thailand.

“Kita akan melakukan risikan dan operasi secara berterusan bagi mengelak kegiatan pengedaran ketum berleluasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:31 AM