Zuliaty Zulkiffli


PETIK dan bungkus sendiri di kebun. Itu taktik penyeludupan daun ketum di sebuah kebun getah di Kampung Padang Durian, Mukim Padang Kerbau, Pendang.

Kawasan kebun getah itu ditanam pokok ketum yang dipercayai menjadi tumpuan penyeludup untuk mendapatkan bekalan.

Difahamkan, sindiket akan membayar kepada pemilik kebun getah turut siap memetik dan membungkus daun ketum.

Bagaimanapun taktik itu terbongkar apabila sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah yang menyerbu lokasi itu jam 6.30 petang semalam.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, sebaik anggotanya tiba di lokasi, mereka menemui 30 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum yang dibalut dengan plastik lut sinar di sebuah pondok.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pemandu sebuah pikap Thailand sempat melarikan diri selepas mengisi bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum di dalam kenderaannya.

ABD Latif (kanan) melihat bungkusan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun getah di Pendang. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ABD Latif (kanan) melihat bungkusan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun getah di Pendang. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Hasil pemeriksaan menemui kenderaan pikap yang di dalamnya mengandungi 25 bungkusan daun ketum siap dibungkus.

"Bungkusan daun ketum itu kita syak untuk diseludup ke Thailand," katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM, hari ini.

Abd Latif berkata, sindiket menukar haluan menghantar bekalan ke Thailand melalui pantai timur dan tidak lagi menggunakan laluan sempadan Bukit Kayu Hitam atau Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap.

Katanya, ini kerana kawalan ketat di sempadan menyebabkan mereka mengambil laluan Sik-Baling yang lebih selamat untuk dibawa ke pantai timur.

"Kita merampas Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand untuk membantu siasatan serta 55 bungkusan daun ketum seberat 530 kilogram itu untuk tindakan lanjut.

"Semua barangan rampasan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Abd Latif berkata, nilai rampasan daun ketum dianggarkan RM26,000 dan mampu mencecah dua kali ganda nilai pasaran di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 2:26 PM