Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Penahanan dua lelaki warga Thailand membawa kepada rampasan 75 kilogram (kg) daun ketum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran di Bulatan Padang Besar berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan pada 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar selepas melakukan risikan selama seminggu.

Komander AKSEM Perlis Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, anggotanya melakukan pemeriksaan selepas menahan sebuah pikap Toyota Hilux Revo bernombor pendaftaran Thailand di lokasi.

Menurutnya, kebiasaannya pikap berkenaan digunakan untuk membawa barang runcit dari negara jiran ke negara ini.

"Terdapat dua lelaki warga Thailand berusia 28 dan 47 berada di dalam pikap berkenaan dan pemeriksaan di belakang kenderaan yang bertutup itu menemui lima kotak minuman teh yang masing-masing dilekatkan dengan pita pelekat.

"Kami mendapati kotak itu mengandungi daun dipercayai daun ketum sebaik dibuka untuk pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita di Pejabat AKSEM Padang Besar, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan ke satu lokasi di sekitar Padang Besar untuk memuatkan barangan runcit untuk dibawa ke negara jiran itu.

SEBANYAK 75 kg daun ketum dirampas selepas AKSEM Padang Besar menahan dua lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup tumbuhan berkenaan. FOTO Dziyaul Afnan
SEBANYAK 75 kg daun ketum dirampas selepas AKSEM Padang Besar menahan dua lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup tumbuhan berkenaan. FOTO Dziyaul Afnan

"Suspek mendakwa diupah RM200 bagi setiap perjalanan dan mereka memuatkan kotak minuman teh mengandungi daun ketum terlebih dahulu ke dalam pikap berkenaan.

"Mereka kemudian akan mengambil muatan barangan runcit dan memuatkan di dalam pikap berkenaan untuk dipenuhkan menyebabkan kotak minuman teh berisi daun ketum itu sukar untuk dikesan kerana berada di bahagian hadapan," katanya.

Katanya, dua lelaki itu ditahan dan daun ketum turut dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 4:48 PM