Aizat Sharif


Padang Besar: Sindiket penyeludupan ketum kini bukan hanya menggunakan 'lorong tikus' di sempadan negara untuk menyeludup ketum, malah turut berani menggunakan khidmat 'tonto' untuk memeriksa keberadaan pihak berkuasa bagi mengelakkan daripada ditangkap.

Taktik itu dikesan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping susulan penahanan tiga lelaki termasuk dua 'tonto' di Beseri, dekat sini, semalam.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, sepasukan anggota AKSEM Chuping yang melakukan rondaan cegah penyeludupan di kawasan Beseri, terserempak sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di Jalan Baru Beseri, Semadong, pada jam 6.10 petang.

"Anggota mengarahkan suspek supaya berhenti menggunakan pembesar suara kereta peronda namun suspek terus memecut kenderaannya.

"Kita terpaksa mengejar suspek sehingga tiga kilometer sebelum suspek memberhentikan kenderaannya.

"Pemeriksaan kemudian menemui 47 bungkusan plastik berwarna hitam seberat 470 kilogram (kg), dengan tujuh daripadanya ditemui di bahagian tempat duduk penumpang hadapan manakala selebihnya disembunyikan di ruang tempat duduk belakang dan but kereta yang sudah diubahsuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Kompleks AKSEM Chuping, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu berusia 36 tahun berkenaan turut menggunakan khidmat 'tonto' bagi memastikan bekalan daun ketum dapat diseludup dengan lancar melalui 'lorong tikus' sempadan Malaysia-Thailand.

"Susulan soal siasat itu, kita menahan dua lelaki berusia 24 dan 29 tahun dalam kereta Perodua Myvi di laluan sama digunakan tangkapan pertama.

"Siasatan pada kedua suspek mendapati mereka adalah 'tonto' yang bekerja untuk suspek utama yang ditahan serta ditugaskan untuk meninjau dan memerhati pergerakan dan keberadaan anggota keselamatan terutama di kawasan sempadan bagi memastikan proses penyeludupan daun ketum ke Thailand lancar.

Sebanyak 47 bungkusan plastik hitam seberat 470 kg yang mengandungi daun ketum dirampas AKSEM Chuping selepas menahan tiga lelaki termasuk dua anggota ‘tonto’ di Beseri, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Sebanyak 47 bungkusan plastik hitam seberat 470 kg yang mengandungi daun ketum dirampas AKSEM Chuping selepas menahan tiga lelaki termasuk dua anggota ‘tonto’ di Beseri, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF

"Pemeriksaan pada kenderaan tidak menemukan apa yang mencurigakan namun kita menjumpai lima bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu dianggarkan seberat 19.7 gram yang disimpan di dalam beg pada poket hadapan yang dipakai seorang daripada suspek," katanya.

Azizan berkata, bekalan daun ketum itu diperoleh dari kawasan Naka, Kedah dan suspek utama berasal dari mukim berkenaan dipercayai menggunakan 'jalan tikus' di sempadan Kedah-Perlis untuk mengelakkan sekatan jalan raya (SJR) polis.

"Kita percaya kes ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan serbuan sebuah rumah yang dijadikan transit bekalan daun ketum di Guar Sanji, Arau pada Rabu lalu kerana bekalan daun ketum dalam kes itu juga diperoleh dari Naka, Kedah.

"Tonto ini akan mengiringi suspek bermula dari sempadan Kedah-Perlis sehingga ke kawasan penyeludupan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan kesemua suspek ini dibayar RM800 untuk melakukan kerja ini," katanya.

Keseluruhan rampasan termasuk kereta dianggarkan RM53,100 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek utama turut disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mana kompaun sebanyak RM5,000 kerana melakukan kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 3:47 PM