GAMBAR Amal yang disiarkan New York Times minggu lalu. FOTO New York Times
GAMBAR Amal yang disiarkan New York Times minggu lalu. FOTO New York Times
Agensi

New York: Seminggu selepas gambarnya dalam keadaan kurus kering disiarkan New York Times minggu lalu, Amal Hussain, budak perempuan Yaman berusia tujuh tahun meninggal dunia.

Menurut keluarganya, Amal, antara jutaan kanak-kanak Yaman yang kekurangan zat dan kebuluran akibat perang, meninggal dunia di kem pelarian di utara Yaman, Khamis lalu.

“Patah hati saya. Amal sentiasa tersenyum dan kini, saya bimbangkan anak-anak saya yang lain,” kata ibunya, Mariam Ali.

Menurut New York Times, Mekkia Mahdi, doktor Yaman yang merawat budak itu sebelum kematiannya berkata: “Kami mempunyai banyak kes seperti Amal.”

Gambar oleh pemenang Anugerah Pulitzer, Tyler Hicks, menunjukkan Amal yang kurus kering dan tidak bermaya terbaring di atas katil klinik bergerak UNICEF di Aslam itu menyentuh hati jutaan orang di seluruh dunia dan mencetuskan kemarahan terhadap krisis yang digelar PBB sebagai terburuk di dunia.

“Amal contoh terbaik betapa tragisnya krisis kebuluran dan kekurangan zat di Yaman,” kata Hicks.

Yaman, antara negara Arab paling miskin terbabit dalam perang antara pemberontak Houthi dengan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta sekutunya sejak 2014.

Tentera pakatan diketuai Arab Saudi itu melancarkan serangan udara besar-besaran serta menyekat laluan perdagangan menyebabkan bekalan makanan serta perubatan terputus.

Menurut PBB, kira-kira 10,000 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh akibat konflik itu, namun jumlah sebenar kematian dianggar lebih tinggi.

Projek Lokasi Konflik Bersenjata (ACLED) serta agensi kebajikan menganggarkan sehingga 56,000 orang awam terbunuh.

Minggu lalu, ketua agensi kemanusiaan PBB, Mark Lowcock, memberitahu Majlis Keselamatan sehingga 14 juta penduduk Yaman kini diancam kebuluran dan kekurangan zat, iaitu separuh daripada jumlah penduduk negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 7:00 AM