SEKUMPULAN kanak-kanak Yaman meminta makanan daripada kumpulan militan di bandar Mokha, barat daya Yaman, semalam. - Reuters
SEKUMPULAN kanak-kanak Yaman meminta makanan daripada kumpulan militan di bandar Mokha, barat daya Yaman, semalam. - Reuters
Agensi

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran, krisis kemanusiaan di Yaman semakin buruk dan negara Arab itu mungkin berdepan dengan kebuluran tahun ini.

Negara itu terbabit dalam perang sejak pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan kempen pengeboman pada Mac 2015 dalam usaha memaksa pemberontak Houthi berundur dari Sanaa dan beberapa bandar lain yang mereka kuasai.

“Konflik di Yaman, jika tidak ditangani serta-merta, akan menyebabkan negara itu menghadapi kebuluran,” kata Setiausaha Rendah Bantuan Kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien kepada Majlis Keselamatan.

Menurutnya, kira-kira 14 juta orang - hampir 80 peratus populasi Yaman - amat memerlukan bantuan makanan.

Dalam pada itu, katanya, 2.2 juta kanak-kanak di negara itu kini berdepan dengan masalah kekurangan zat yang teruk, peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding hujung 2015.

Kira-kira 10,000 orang awam Yaman terbunuh sejak sengketa perebutan kuasa bermula di Yaman.

PBB berusaha menamatkan peperangan dengan mengadakan gencatan senjata beberapa kali tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:02 AM