PENDUDUK Iraq yang melarikan diri dari pertempuran di barat Mosul mendapatkan bantuan kemanusiaan di kem sementara di Salamiyah, timur Mosul, semalam. - AFP
PENDUDUK Iraq yang melarikan diri dari pertempuran di barat Mosul mendapatkan bantuan kemanusiaan di kem sementara di Salamiyah, timur Mosul, semalam. - AFP
AFP

Kaherah: Konflik yang melanda Asia Barat dan utara Afrika menyebabkan kira-kira 30 juta orang tidak pasti memperoleh makanan seterusnya.

“Keselamatan makanan dan tahap nutrisi di Asia Barat dan utara Afrika merosot teruk dalam masa lima tahun lalu,” menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, kekurangan keselamatan makanan yang teruk dalam kalangan populasi dewasa kini ialah hampir 9.5 peratus pada 2014-2015, mewakili kira-kira 30 juta orang.

“Negara seperti Iraq, Sudan, Syria dan Yaman mempunyai kadar penduduk kekurangan makanan antara paling tinggi di dunia, menggambarkan kesan konflik yang masih berlarutan terhadap keselamatan dan tahap nutrisi makanan mereka,” menurut kenyataan FAO.

Penolong pengarah dan wakil serantau FAO Abdessalam Ould Ahmed berkata, peperangan yang berlaku menjejaskan usaha menangani kekurangan air, sekali gus menjejaskan pertanian di kebanyakan negara di rantau itu.

Yaman, antara negara paling miskin di dunia menyaksikan keselamatan makanannya bertambah buruk secara dramatik sejak perang saudara meningkat dua tahun lalu.

Sepertiga daripada 22 wilayahnya berdepan dengan kemarau, menurut Program Makanan Sedunia PBB, minggu lalu.

Dalam pada itu, 60 peratus daripada 17 juta penduduknya juga sentiasa kelaparan.

FAO berkata, perang saudara selama enam tahun di Syria juga memberi kesan amat buruk kepada penduduk awam untuk mendapatkan makanan sempurna.

“Krisis Syria, khususnya, semakin buruk pada 2015-2016, menyebabkan separuh populasinya memerlukan bantuan makanan,” menurut FAO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 8:09 AM