MOHD ADHAR menjaga ibunya yang menderita barah payudara. FOTO E-mel
MOHD ADHAR menjaga ibunya yang menderita barah payudara. FOTO E-mel
Yusmizal Dolah Aling dan Norizuan Shamsuddin

KUALA LUMPUR: “Saya tak tahu bila dapat sambung pengajian. Apa yang penting sekarang ini saya nak jaga emak dulu. Mungkin lepas inilah, tengok dulu macam mana.

“Setakat ini emak sudah sedar, cuma keadaannya sangat lemah sampai tak boleh nak bercakap bila kita tanya soalan pada dia. Mohon semua doakan kesihatan emak saya,” kata Mohd Adhar Mat Isa, 25.

Pemuda itu sanggup berkorban dengan mengambil keputusan menangguh pengajiannya di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Selangor semata-mata mahu menjaga ibunya yang kini menderita barah payudara tahap empat.

Penuntut jurusan Al-Quran dan Al Sunnah dengan Komunikasi mengikuti pengajian di KUIS sehingga semester empat saja sebelum mengambil keputusan pulang ke Alor Setar, Kedah untuk menjaga ibunya Siti S’adah Hussain, 62.

Katanya, walaupun keberatan untuk menangguhkan pengajian sebagai seorang anak baginya tanggungjawab menjaga dan berada disamping ibunya lebih utama.

“Seminggu sebelum Ramadan tahun lalu emak lumpuh, langsung tak boleh bangun dan hanya terlantar saja. Mujur ada duit pencen mak dan arwah ayah berjumlah RM2,000 sebulan.

“Duit itulah yang saya guna untuk beli keperluan mak seperti susu dan lampin pakai buang. Ogos lalu kami terima bantuan zakat sebanyak RM600 sebulan, syukur dapatkan saya guna beli keperluan lain untuk emak selepas ini,” katanya.

Mohd Adhar berkata, sebelum ini ibunya yang juga bekas penyelia asrama dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, sebelum dibawa pulang ke rumah baru-baru ini.

Menurutnya, dia memberikan sepenuh perhatian untuk menjaga ibunya, manakala abangnya bekerja sebagai buruh.

“Abang turut membantu, setiap kali dapat gaji dia beli keperluan yang patut, memang jumlah pencen emak dan arwah ayah RM2,000 tapi itu sebelum ditolak ansuran pembiayaan pinjaman yang belum habis.

“Setakat ini ramai juga yang menyumbang, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang simpati,” katanya.

Orang ramai ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Mohd Adhar menerusi nombor akaun 02011021037822 atau Maybank (152023491869).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 7:30 AM