Graduan Sarjana Muda Sains (Sains Bioperubatan), Anis Ayuni Ismail menolak kerusi roda  ibunya, Nik Mah Nik Kob, 62, ketika majlis  Konvokesyen UPM Ke-40, hari ini. - Foto SURIANIE MOHD HANIF
Graduan Sarjana Muda Sains (Sains Bioperubatan), Anis Ayuni Ismail menolak kerusi roda ibunya, Nik Mah Nik Kob, 62, ketika majlis Konvokesyen UPM Ke-40, hari ini. - Foto SURIANIE MOHD HANIF
Air mata seorang ibu melihat kejayaan anak yang sentiasa mengasihinya. -  - Foto SURIANIE MOHD HANIF
Air mata seorang ibu melihat kejayaan anak yang sentiasa mengasihinya. - - Foto SURIANIE MOHD HANIF
BERNAMA

Kuala Lumpur: “Biarpun penat, saya rela berulang-alik menaiki motosikal sejauh 15 kilometer dari kampus ke rumah di Putrajaya bagi mengelak emak yang terlantar sakit, kelaparan.”

Demikian luahan Anis Ayuni Ismail, 22, yang perlu mengimbangi antara tugas dan kesibukannya sebagai mahasiswi dengan tanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh seluruh anggota badan.

Siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Bioperubatan) di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, ibunya Nik Mah Nik Kob, 62, menghidap angin ahmar sejak 10 tahun lalu.

"Kalau ada satu hingga dua jam 'jarak', saya akan balik ke rumah untuk beri emak makan kemudian ke kelas semula. Selepas habis kelas pada sebelah petang, saya bergegas pulang untuk mandikan emak dan beri emak makan.

"Emak boleh bercakap tetapi tidak jelas. Saya selalu kena pujuk dia kerana sejak sakit, emak sensitif dan cepat menangis," katanya di sini, hari ini.

Anak kelahiran Kelantan antara penerima ijazah pada majlis Konvokesyen UPM Ke-40 hari ini, melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan mencapai keputusan cemerlang meskipun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.

Anis Ayuni hari ini menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Bioperubatan) yang disampaikan Pro Canselor UPM Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada majlis konvokesyen di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

"Ketika di universiti, saya jarang dapat sertai 'kumpulan belajar' dengan kawan-kawan kerana perlu pulang ke rumah menjaga emak. Saya hanya ikuti perbincangan rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp," katanya menceritakan cabarannya dalam menamatkan pengajian.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, dia hanya menelaah pelajaran pada waktu malam selepas ibunya tidur.

"Sebagai insan biasa saya tidak lari daripada berasa tertekan. Saya bersyukur kerana mempunyai kakak yang menjadi tempat meluahkan perasaan ketika mempunyai masalah," katanya dengan nada sedih.

Meskipun berdepan cabaran hidup, Anis Ayuni bernasib baik kerana mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam sepanjang tempoh pengajian dan mendapat wang saku daripada abangnya.

Mengenai rancangan masa depan, dia masih menunggu panggilan untuk mengikuti program Skim Latihan 1Malaysia dan berharap mendapat pekerjaan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:11 PM