EZAD (kanan) ketika pengkebumian ibunya di Alor Setar. FOTO ihsan Ezad
EZAD (kanan) ketika pengkebumian ibunya di Alor Setar. FOTO ihsan Ezad
Ridzuan Abdul Rahman

"YA ALLAH, pagi ni subuh teringat sangat kat mak. Selalu mak duk (akan) marah kalau bangchik duk (kerap) bangun lambat sembahyang.

"Hari ini bangun mak dah tak ada. Tak ada lagi kelibat mak duk (sedang) cuci sangkar kucing, siram pokok bunga. Rindunya bangchik dengan mak.

"Tuhan saja yang tahu perasaan rindu dan sedih ini...terasa kehilangan yang sangat besar."

Demikian luahan perasaan penyanyi Ezad Lazim di Facebook terhadap pemergian ibunya, Rosadah Jahaya, 69, yang meninggal dunia semalam.

Rosadah, rebah ketika mahu mengambil air sembahyang untuk solat Subuh di rumahnya di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, Kedah.

Ezad yang dihubungi berkata, perasaannya sedikit terkilan kerana tidak pulang meraikan Hari Raya Aidiladha dengan ibunya baru-baru ini.

"Emak ada juga tanya tapi memandangkan saya dah balik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan berada agak lama di kampung, saya buat keputusan ini.

"Semasa balik tempohari, saya bawa pula emak bersama untuk tengok rumah baru kami di Kota Warisan, Sepang. Itu kali pertama dia keluar selepas abah tiada setahun lalu.

"Lebih kurang seminggu juga emak berada di sini sebelum pulang ke Kedah. Selain itu, saya juga buat keputusan tak balik kampung masa raya kerana keadaan kesesakan lebuhraya yang teruk," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ezad, ibunya dapat menerima penjelasannya itu.

"Cuma saya tak sangka emak pergi mengejut sebegini. Cuma sebelum ini emak memang beritahu rindukan arwah abah dan bercakap ingin ikut abah.

"Saya ingatkan itu sekadar cakap-cakap biasa kerana emak tiada sakit serius kecuali darah tinggi tapi stabil.

"Pagi semalam saya dikejutkan dengan panggilan adik bongsu, Rizal yang menelefon sambil menangis beritahu emak tak sedarkan diri. Saya dah panik ketika itu," katanya.

Ezad berkata, ibunya kali terakhir bercakap dengan kakaknya, Rozaimah menyatakan hasrat untuk melakukan badal haji serta kenduri arwah sempena setahun pemergian ayah mereka 6 Ogos lalu.

"Abah meninggal 6 Ogos 2019, manakala emak 7 Ogos (semalam), tapi tarikh kebumi mereka adalah sama iaitu 7 Ogos.

"Emak selalu kata seronok tengok orang meninggal hari Jumaat dan sekarang gilirannya. Saya terharu apabila ramai peminat mendoakan emak.

"Agak menyayat hati kerana emak ada buat ketupat dan rendang untuk kami kalau-kalau kami balik raya. Ketupat serta rendang itu masih ada disimpan dalam peti sejuk," katanya yang masih menganggap peristiwa itu ibarat mimpi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 12:40 PM