MEOR menunjukkan laporan polis dibuatnya selepas dompet miliknya dilarikan wanita di pusat beli-belah di Seremban, hari ini. FOTO ihsan Meor Mohd Afif.
MEOR menunjukkan laporan polis dibuatnya selepas dompet miliknya dilarikan wanita di pusat beli-belah di Seremban, hari ini. FOTO ihsan Meor Mohd Afif.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAKON Meor Mohd Afif Meor Mohd Affandi kerugian RM1,200 apabila dompet miliknya dipercayai dilarikan seorang wanita di sebuah butik di pusat beli-belah di Kemayan Square, Seremban, hari ini.

Meor, 29, berkata dia berkunjung ke butik di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan bersama isteri, Nur Najian Jasni, 25, dan anak, Meor Alexander Al Fateh berusia 11 bulan pada 1 tengah hari.

Katanya, dia melihat pakaian untuk dibeli manakala isteri menyuapkan makanan kepada anaknya yang diletakkan di dalam kereta dorong bayi.

“Pada ketika itu, saya meletakkan dompet mengandungi RM1,200 di dalam raga kereta dorong bayi. Isteri yang selesai menyuapkan makanan duduk di kerusi berhampiran butik," katanya.

Pelakon drama Tanah Kubur dan Deejavu di Kinabalu itu berkata, seorang wanita bertudung melalui kereta dorong bayi dan dipercayai mengambil dompetnya.

“Isteri memaklumkan kejadian menyebabkan saya mengejar wanita itu hingga ke lif. Isteri memeriksa beg tangan wanita terbabit, tetapi tidak menjumpai apa-apa.

“Apa dikesalkan adalah saya dan isteri terlupa memeriksa tubuh badan wanita itu dan kemungkinan dompet diselit pada pinggangnya,” katanya.

Berikutan itu, Meor tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, 2.17 petang hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 8:03 PM