Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban mengesan dua wanita bagi berbincang mengenai hak penjagaan bayi mereka yang ditinggalkan di dua hospital di daerah ini pada 27 Julai dan 8 Ogos lalu.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Seremban, Mustafal Bakri Mohammad Yusof berkata, kes pertama membabitkan seorang bayi perempuan, Ainul Mardhiah Abdul Hakim yang dilahirkan pramatang di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, 27 Julai lalu.

Katanya, bayi itu ditinggalkan ibunya sebaik selesai menerima rawatan.

Menurut Mustafal Bakri, pihaknya mengenal pasti wanita terbabit seorang mualaf yang bernama Nazira Abdullah beralamat terakhir nombor 4513, SJ 4/2, Taman Seremban Jaya, di sini.

Katanya, bagi kes kedua, seorang bayi perempuan, Victoria Grace diletakkan ibunya di pusat peninggalan bayi (baby hatch) di Hospital KPJ Seremban pada 8 Ogos lalu.

VICTORIA Grace
VICTORIA Grace

“Ibu bayi terbabit meninggalkan sekeping surat yang menyatakan butiran nama dan tarikh kelahiran iaitu pada 13 Julai lalu.

“Buat masa ini pihak kami tidak memiliki maklumat berkaitan wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan dua wanita terbabit diminta menghubungi Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Seremban, Norsahrisalina Nordin atau Nurlinda Rozak di talian 06-6015819.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 11:42 AM