SUSPEK. FOTO ihsan PDRM
SUSPEK. FOTO ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Polis memburu seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai memecah sebuah kereta sebelum melarikan beg pakaian milik pengunjung sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, dalam kejadian 3.15 petang, mangsa, wanita 27 tahun meletakkan kereta jenis Toyota di tempat letak kereta tingkat bawah pasar raya terbabit.

Katanya, sekembalinya pada kenderaan jam 4.45 petang, mangsa mendapati cermin belakang sebelah kiri dipecahkan sebelum kehilangan beg mengandungi pakaian serta kasut bernilai RM500.

"Sehubungan itu wanita terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, selepas kejadian.

"Sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan tinjauan menerusi rakaman kamera tertutup (CCTV) mendapati jenayah dilakukan seorang lelaki serta seorang wanita yang menunggang motosikal Modenas Kriss," katanya.

Hock Poh berkata, pihaknya percaya lelaki itu, Mohd Izzat Irwan Ahmad, 31, terbabit kegiatan itu dan diminta tampil menyerahkan diri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 11:34 PM