SARJAN polis ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SARJAN polis ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SARJAN polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, ditahan dan direman berikutan menerima rasuah RM1,200 daripada penagih dadah.

Jurucakap SPRM berkata, suspek 36 tahun dan berkhidmat di Bahagian Narkotik dicekup sebaik menerima wang itu di tepi jalan.

Katanya, wang itu dimasukkan ke dalam kereta milik suspek ketika mereka bertemu, pada kira-kira 3 petang.

“Berdasarkan siasatan, anggota polis terbabit meminta RM1,300 daripada penagih lelaki bagi menutup kes,” katanya.

Jurucakap itu berkata, suspek kemudian memberi diskaun RM100 dan hanya menerima RM1,200.

“Ketika tangkapan dibuat, kami menemui wang itu bersama suspek," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu Mahkamah Khas Reman, Seremban, hari ini, membenarkan suspek direman tiga hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dibenarkan Majistret Rahimah Rahim.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim manakala tertuduh diwakili peguam, Rajinder Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 12:36 PM