Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PEMILIK asal Mercedes Benz yang menghimpit Perodua Alza di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, kelmarin, membuat laporan polis mendakwa tidak terbabit dengan kejadian yang mencederakan dua penumpang itu.

Lelaki berusia 40 tahun itu membuat laporan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sumber polis berkata, lelaki itu mendakwa kereta berkenaan sudah dijual kepada kenalan pada November 2017.

“Tanpa menukar nama pada geran kereta, kereta itu sekali lagi dijual kepada individu lain yang juga seorang lelaki. Pemilik asal itu mendakwa pembeli tidak menukar nama pada geran kereta,” katanya.

Kata sumber itu, pemilik asal hanya mengetahui kejadian selepas dihubungi anggota polis trafik jam 10 malam, pada hari kejadian.

“Lelaki itu memaklumkan tidak memandu pada hari kejadian. Kes seperti ini perlu dijadikan pengajaran dengan memastikan nama ditukar apabila kereta dijual kepada individu lain,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan dua wanita cedera selepas Perodua Alza dinaiki dihimpit sebuah Mercedes Benz di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran sebuah hospital swasta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dilaporkan berkata, pemandunya iaitu wanita berusia 25 tahun sudah ditahan semalam.

Berita berkaitan

Pemandu Mercedes Benz sudah ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:51 PM