LUKISAN pada wang kertas Venezuela untuk dijual sebagai hasil seni oleh artis. - AFP
LUKISAN pada wang kertas Venezuela untuk dijual sebagai hasil seni oleh artis. - AFP
 BEG diperbuat daripada ratusan keping wang kertas Venezuela - AFP
BEG diperbuat daripada ratusan keping wang kertas Venezuela - AFP

Caracas: Matawang Venezuela yang tiada lagi nilai berikutan kemerosotan ekonominya yang teruk menyebabkan wang negara itu kini hanya seperti kertas biasa, boleh didapati berselerak di jalanan, malah ada yang menganyamnya dijadikan beg.

Seorang peniaga, Wilmer Rojas, 25, mendapat idea membuat origami menggunakan wang kertas Bolivar itu yang langsung tidak bernilai akibat inflasi yang menyebabkan nilainya jatuh 87 peratus.

Dia menganyam kepingan wang kertas itu menjadi beg tangan, dompet, topi dan bakul.

Daily Mail melaporkan, bapa kepada tiga anak itu berkata: “Orang ramai membuangnya merata-rata kerana sudah tiada nilai untuk membeli apa-apa. Tiada yang mahu menerima wang itu lagi.

“Kami boleh membuat origami menggunakan majalah atau surat khabar, namun wang kertas lebih baik kerana semuanya sama saiz dan saya tidak perlu membuang masa memotongnya.

“Walaupun tidak bernilai, sekurang-kurangnya saya boleh menjadikannya sesuatu yang berguna daripada membuangnya,” katanya.

Menurutnya, lima atau 10 keping wang kertas Bolivar tidak laku untuk membeli gula-gula.

Wilmer menggunakan ratusan keping wang kertas untuk membuat topi yang menyamai harga sekotak rokok yang hanya beberapa ringgit.

Jose Leon, pereka berusia 26 tahun, turut menggunakan wang kertas melukis watak Star Wars pada imej ketua gerakan gerakan kemerdekaan, Simon Bolivar dan tokoh terkenal Venezuela lain.

Ribuan penduduk negara itu yang terdesak, kini cuba berhijrah ke Columbia bagi melarikan diri daripada kebuluran dan peningkatan kadar jenayah disebabkan krisis ekonomi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:26 AM