GURU dan penjawat awam menyertai demonstrasi bagi menuntut kenaikan gaji. FOTO Reuters
GURU dan penjawat awam menyertai demonstrasi bagi menuntut kenaikan gaji. FOTO Reuters
Reuters

Caracas: Guru, pesara dan ahli kesatuan sekerja berarak di sekurang-kurangnya enam bandar di Venezuela, pada Isnin, untuk menuntut kenaikan gaji, ketika kerajaan pimpinan Presiden Nicolas Maduro berdepan cabaran baharu untuk menangani inflasi.

Inflasi di Venezuela dianggarkan sudah mencapai 305 peratus pada tahun lalu, menurut kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ahli ekonomi menerusi pengiraan dibuat tanpa data rasmi.

Kerajaan tidak menyelaras gaji kakitangan awam sejak Mac tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan cukai untuk membolehkan Venezuela keluar dari hiperinflasi.

Namun, pada separuh tahun kedua 2022, permintaan untuk mata wang asing mengatasi bekalan mingguan dolar Amerika Syarikat oleh bank pusat, dan ia menyebabkan nilai mata wang bolivar semakin merosot.

Gaji minimum bulanan untuk guru sekolah awam adalah kira-kira AS$10 (kira-kira RM43), manakala profesor universiti pula memperoleh antara AS$60 (kira-kira RM260) dan AS$80 (kira-kira RM346).

"Gaji kami sangat sedikit. Saya mendapat gaji 460 bolivar (kira-kira AS$23 atau kira-kira RM99) sebulan," kata Odalis Aguilar, guru berusia 50 tahun yang berarak di bandar Maracay.

Di negeri tengah, Carabobo, guru dan penjawat awam juga menyertai demonstrasi, dengan mendakwa gaji tidak mencukupi untuk makanan dan ubatan.

"Makanan kami adalah karbohidrat, tiada protein, beberapa sayuran, ia amat asas," kata Reina Sequera, profesor di Universiti Carabobo yang menjadi penanggung utama untuk tiga ahli keluarga.

"Kami tidak mampu untuk membeli acetaminophen."

Hujung minggu lalu, kerajaan membayar penjawat awam dengan bonus bersamaan AS$29.80 (kira-kira RM128) menurut kadar tukaran asing dianggarkan oleh bank pusat.

Puluhan guru, membawa poster dan berarak di San Cristobal, ibu negeri Tachira.

Ada yang membawa imej tengkorak yang merujuk kepada "gaji kebuluran".

"Bonus itu tidak sampai AS$30 (kira-kira RM129). Adakah ini yang diterima Maduro? Kamu hanya melemparkan serdak kepada kami," kata presiden Kolej Tachira untuk Guru, Gladys Chacon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 10:10 AM