PENDUDUK menampal wang kertas 100 bolivar di sebatang tiang sebagai membantah kekurangan wang tunai di bandar San Cristoba, Venezuela kelmarin. - AFP
PENDUDUK menampal wang kertas 100 bolivar di sebatang tiang sebagai membantah kekurangan wang tunai di bandar San Cristoba, Venezuela kelmarin. - AFP
AFP

Penduduk Venezuela yang kelaparan mencuri makanan dari lori dan bertempur dengan polis kelmarin selepas rancangan kerajaan memperkenalkan wang kertas dengan nilai baru menyebabkan rakyat negara itu tidak mempunyai wang tunai.

Berdepan masalah inflasi paling tinggi di dunia menyebabkan mata wang negara itu semakin tidak bernilai dan kerajaan cuba memperkenalkan wang kertas baru dengan nilai 200 kali lebih tinggi daripada yang lama.

Bagaimanapun, rancangan itu mencetuskan krisis apabila Presiden Nicolas Maduro mengarahkan wang kertas bernilai 100 bolivar ditarik balik sebelum kedatangan wang dengan nilai baru.

100 bolivar yang bernilai kira-kira RM1.30 adalah nilai wang kertas paling tinggi di Venezuela dan merangkumi 77 peratus wang tunai yang diedarkan di negara itu.

Bantahan ganas tercetus hampir di seluruh negara apabila rancangan terburu-buru itu menyebabkan rakyat tiada wang untuk membeli makanan atau hadiah Krismas.

Di bandar Maracaibo di barat Venezuela, penunjuk perasaan bertempur dan membaling batu ke arah polis.

Beratus-ratus penunjuk perasaan di bandar Maturin berkumpul di satu kawasan perniagaan dan kecurian dilaporkan berleluasa.

“Saya pergi ke pasar dan ia dikawal oleh tentera. Sekumpulan penduduk mencuri ayam dalam sebuah lori,” kata seorang penduduk Maturin, Juan Carlos Leal.

Beribu-ribu penduduk berbaris di Bank Pusat untuk menukar wang kertas 100 bolivar yang masih disimpan mereka.

Ramai berang kerana mereka hanya boleh mendeposit wang lama berkenaan atau mendapatkan ‘baucar khas’ untuk ditukar dengan wang baru nanti.

“Dunia sudah terbalik. Biasanya kami tiada makanan tetapi kini kami tiada wang pula untuk membeli makanan,” kata seorang penduduk, Jesus Garcia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:20 AM