Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

RAKAMAN video menunjukkan seekor babi hutan tersesat masuk ke sebuah pasar raya di Jerantut, tular di Facebook (FB), sejak pagi tadi.

Video berdurasi 2 minit 13 saat itu dipercayai dirakam seorang pengunjung pasar raya sebelum memuat naik di FB.

Menerusi video itu, haiwan berkenaan yang dipercayai sesat dilihat berada di bahagian barangan plastik dan cuba melarikan diri sambil dihalau oleh pekerja pasar raya berkenaan.

Jurucakap pasar raya itu, M Prathap berkata, babi hutan itu memasuki pasar raya 8.30 pagi tadi dan pertama kali berlaku selepas beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

“Kita tidak tahu daripada mana haiwan liar berkenaan datang. Ada kemungkinan sebelum itu ia dihalau oleh penduduk di kawasan perumahan berdekatan sebelum sesat memasuki pasar raya ini melalui pintu hadapan.

“Haiwan berkenaan hanya berada di bahagian hadapan pasar raya. Tak pergi sampai belakang dan pengawal keselamatan yang bertugas mengambil masa dua minit saja bagi menghalaunya,” katanya ketika ditemui di pasar raya itu, di sini, hari ini.

Dia berkata, pihaknya sudah mengambil langkah sewajarnya berhubung kejadian itu termasuk membuang peralatan plastik yang di berada di kawasan berkenaan serta membersihkan kawasan yang sekitarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 6:22 PM
RAKAMAN video berdurasi 2 minit dan 13 saat yang menjadi tular di FB yang dirakam seorang pengunjung menunjukkan seekor babi hutan berada di dalam sebuah pasaraya di daerah ini. Haiwan berkenaan dipercayai tersesat dan dilihat berada di kawasan barangan plastik pasaraya berkenaan. FOTO Ihsan pembaca