DUA babi hutan dirakam sedang berkeliaran di kawasan parkir sebuah pasar raya di Seremban Jaya, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
DUA babi hutan dirakam sedang berkeliaran di kawasan parkir sebuah pasar raya di Seremban Jaya, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Hasbi


Seremban: Pengunjung sebuah pasar raya di sini terkejut susulan kemunculan dua babi hutan berkeliaran di kawasan parkir premis di Seremban Jaya, di sini.

Kemunculan haiwan liar itu sempat dirakam sebelum video berdurasi 26 saat itu dimuatnaik kira-kira jam 12 tengah hari tadi selain tular di aplikasi TikTok.

Berdasarkan rakaman berkenaan, haiwan liar itu dipercayai tersesat dan masuk ke kawasan parkir, namun dipercayai tidak menemui jalan keluar.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, pihak pengurusan pasar raya itu sudah membuat laporan berhubung kejadian itu kepada Perhilitan.

"Kami melakukan siasatan dan tidak pasti sama ada video ditularkan itu rakaman baharu atau lama, namun Perhilitan akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan.

"Ini bukan kali pertama Perhilitan menerima aduan berkenaan babi hutan berkeliaran di luar pasar raya itu.

Berdasarkan aduan pertama diterima pada awal tahun ini, Perhilitan sudah menangkap tiga babi hutan di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:32 PM