GAMBAR hiasan - FOTO ihsan FB
GAMBAR hiasan - FOTO ihsan FB
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jenazah pendaki Malaysia, Allahyarham Zulkifli Yusof kini dalam perjalanan pulang ke tanah air sebelum dijangka tiba dan dikebumikan di kampung halamannya di Perak, Sabtu ini.

Kelab Jelajah Alpine Malaysia (ACM) memaklumkan tadi, jenazah Zulkifli, 37, mula diterbangkan pulang ke tanah air, jam 7.15 pagi semalam (waktu tempatan) dengan penerbangan transit di Los Angeles dan Incheon, Korea Selatan.

"Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang kira-kira jam 8.55 pagi, 15 Jun 2024 (Sabtu) melalui penerbangan Korean Airlines.

"Sejurus tiba, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Mahmudiah Kampung Temerlok, Trong, Taiping, Perak sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Zohor," katanya.

ACM juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Konsulat General Malaysia di Los Angeles kerana membantu menguruskan proses penghantaran pulang Allahyarham Zulkifli.

"Kami mohon rakan-rakan berdoa supaya proses membawa pulang jenazah berjalan dengan lancar," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Zulkifli dilaporkan meninggal dunia semasa menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska, gunung tertinggi di Amerika utara.

ACM turut mengesahkan, jenazah yang terkandas selama tiga hari di gunung terbabit berjaya dibawa turun dari lokasi kejadian pada jam 8.30 pagi, 1 Jun lalu.

Terdahulu, Zulkifli bersama rakan pendaki lain, Muhammad Illaham Ishak dan Zainudin Lot tiba puncak berketinggian 6,190 meter itu, jam 11 malam, 27 Mei (waktu tempatan) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 9:24 AM