Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Kompleks Mahkamah di sini, kembali menjadi tumpuan pengamal media berikutan ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan tamat tempoh reman hari ini.

Pasangan suami isteri itu yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak terbabit dijangka menghadapi pertuduhan pagi ini.

Seawal jam 7 pagi, pengamal media sudah mula berkumpul di luar mahkamah dan tidak dibenarkan masuk.

Pintu pagar utama ke mahkamah juga dikawal ketat pengawal keselamatan dengan keadaan terkini masih terkawal tanpa insiden tidak diingini berlaku.

Turut kelihatan beberapa ahli keluarga pasangan suami isteri itu.

Pengamal media dan orang ramai berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Pengamal media dan orang ramai berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim

Semalam, ibu kepada kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah berkenaan bagi memberikan keterangan di hadapan majistret, namun tidak membuat sebarang pengakuan.

Prosiding semalam adalah permohonan polis untuk merekod pengakuan bersalah Orang Yang Disyaki (OYDS) mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah kedua-dua peguam.

Selepas prosiding kes itu selesai di mahkamah semalam, datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan pula dilaporkan ditahan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pasangan itu ditahan jam 2.30 petang.

Terkini: Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa abaikan anak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 8:29 AM