Mohd Naim (tengah) bersama pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji dan antara jemaah yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Kebersihan Masyair di sini, kelmarin. FOTO Husain Jahit
Mohd Naim (tengah) bersama pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji dan antara jemaah yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Kebersihan Masyair di sini, kelmarin. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Yakin dengan jemaah haji Malaysia yang sememangnya memiliki sikap disiplin tinggi hingga diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi, ia mampu dikekalkan lagi pada tahun ini dengan pencapaian yang lebih baik.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar yang menzahirkan keyakinan terhadap jemaah haji Malaysia ketika berucap merasmikan Program Kebersihan Masyair dengan tema Kebersihan Mencerminkan Kemabruran Haji, di sini semalam.

Program kebersihan Masyair ini membabitkan tiga kawasan utama iaitu ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina, yang tinggal sehari sahaja lagi untuk kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan pergi bersama kira-kira 2 juta jemaah seluruh dunia akan berkumpul.

"Program yang diperkenalkan sejak 2018 lagi ini, memberi peluang kepada jemaah haji Malaysia untuk melaksanakan salah satu daripada tanggungjawab sebagai umat Islam yang faham dengan konsep ibadah bukan sekadar solat, puasa dan sebagainya, tetapi juga merangkumi aspek hubungan antara rakan jemaah dan menjaga persekitaran juga adalah sebahagian ibadah.

"Dengan adanya program sebegini, jemaah haji dapat memahami serta menghayati ibadah dengan lebih luas, memahami konsep taawun kerjasama yang mana di dalam konteks ini apabila jemaah tiba di Arafah, Muzdalifah dan Mina, amalan itu akan terus diaplikasikan untuk menjadikan keadaannya akan kekal bersih, teratur serta bersih," katanya lagi kepada Petugas Media Tabung Haji.

Mohd Naim ketika melancarkan Program Kebersihan Masyair. FOTO Husain Jahit
Mohd Naim ketika melancarkan Program Kebersihan Masyair. FOTO Husain Jahit

Perasmian program ini turut dihadiri oleh Pengerusi TH, Tan Seri Abdul Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan dua orang ahli Lembaga Pengarah iaitu Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dan Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd.

"Kita harapkan program ini akan mewujudkan satu semangat kerjasama dan membina ukhwah persaudaraan antara jemaah haji Malaysia. Apabila ada semangat kerjasama ini kita akan lihat Arafah yang ditinggalkan nanti akan bersih hingga boleh menjadi contoh kepada negara lain," katanya lagi.

Kita ada 31,600 jemaah haji, dan jika setiap daripada mereka memahami dan menghayati program kebersihan Masyair ini, mereka akan pastikan program ini berjaya, pada masa sama beroleh haji mabrur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 8:56 AM