Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Ibu bapa kepada kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, akan didakwa di Kompleks Mahkamah di sini, pagi ini.

Perkara itu disahkan Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kepada kanak-kanak terbabit.

"Ya ada tuduhan untuk kedua-dua anak guam kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum mengetahui intipati pertuduhan yang bakal dihadapi kedua anak guamnya itu.

Pasangan suami isteri terbabit yang ditahan reman selama 13 hari sejak 1 Jun lalu, tamat tempoh reman hari ini.

Selain Fahmi, seorang lagi peguam, Mahmud Jumaat mewakili ibu kepada Zayn Rayyan.

Semalam, ibu kepada kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah berkenaan bagi memberikan keterangan di hadapan majistret, namun tidak membuat sebarang pengakuan.

Mahmud berkata, prosiding semalam adalah permohonan polis untuk merekod pengakuan bersalah Orang Yang Disyaki (OYDS) mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah kedua-dua peguam.

Mereka mendakwa tindakan polis membawa wanita terbabit untuk merekod pengakuan bersalah wanita itu di hadapan majistret agak luar biasa dan aneh.

Pada Isnin lalu, wanita itu dibawa semula ke kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai serta lokasi mayat ditemukan berhampiran rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak sehingga mayatnya ditemui.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Terkini: Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa abaikan anak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 8:13 AM