GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki tempatan disyaki 'orang suruhan' sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau along berpangkalan di Singapura ditahan polis kerana melempar bom petrol (molotov coctail) ke atas sebuah kereta di Taman Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah.

Suspek berusia 25 tahun itu disyaki melakukan kerja kotor itu dengan upah RM1,000 untuk setiap tugasan dan setakat ini disyaki terbabit dalam dua kes iaitu di negeri ini dan di Setiawan, Perak membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan di hadapan rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur sekitar jam 9 pagi semalam oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka.

Menurutnya, penahanan suspek dilakukan hasil risikan dan siasatan susulan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 38 tahun pada 6 Jun lalu selepas kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Taman Mengkuang, terbakar akibat dibaling dengan bom petrol.

"Hasil siasatan kejadian dipercayai berpunca daripada hutang along kerana sebelum ini keluarga pengadu pernah diganggu oleh sindiket terbabit.

"Pemilik rumah memberitahu anak lelakinya yang berkerja di Singapura ada meminjamkan akaun bank miliknya kepada rakan bagi meminjam sejumlah wang.

"Namun rakannya itu melarikan diri menyebabkan sindiket mencari anak lelaki pengadu dan turut meninggalkan notis memberitahu akan membakar rumah dan kereta.

"Selain itu suspek turut menyatakan akan mencari keluarga terbabit serta meminta menghubungi nombor telefon luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, risikan pihaknya mendapati suspek bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang dari Singapura sejak sebulan lalu dan hasil penahanannya, polis turut merampas kereta Toyota Unser, telefon bimbit dan pakaian.

"Suspek mendakwa mengenali ketuanya dikenali sebagai Kevin melalui panggilan telefon dan menerima upah melalui akaun bank.

"Dia mempelajari cara membuat bom petrol melalui Youtube dan bergerak secara bersendirian menggunakan Toyota Unser milik ibunya untuk melakukan aktiviti vandalisme itu.

"Suspek mengambil upah membakar rumah kenderaan kerana disebabkan berhutang dengan ahlong sebanyak RM10,000 dan terbabit bermain judi di Genting," katanya.

Zainol berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 9:29 AM