NIZAM merakamkan gambar kenangan bersama barisan artis, kru, penaja serta peminat yang hadir menonton.
NIZAM merakamkan gambar kenangan bersama barisan artis, kru, penaja serta peminat yang hadir menonton.
Ridzuan Abdul Rahman


PELBAGAI halangan dan cabaran dilalui penyanyi, Nizam Laksamana sebelum berlangsungnya

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 baru-baru ini.

Malah ada satu ketika, dia hampir membatalkan persembahan ini kerana kecewa dengan kerenah birokrasi antaranya ketiadaan penaja dan kegagalan mendapatkan dana yang diperuntukkan untuk penggiat seni sepertinya.

Namun, kata-kata semangat serta dorongan pelbagai pihak terutama isteri serta 10 artis yang terbabit dalam showcase ini membakar semangat untuk meneruskan siri terakhir show anjuran syarikatnya, Nizam Laksamana Production ini.

Seperti dijangka, sambutan perlahan terhadap meja yang disediakan pada awal bertukar sebaliknya apabila pelbagai pihak mula membelinya pada saat akhir sehingga ballroom hotel padat dengan kehadiran peminat.

Nizam melahirkan rasa gembira dan syukur kerana niat murninya membantu sesama rakan artis dan penggiat seni lain serta Persatuan Cancer Survivors menerusi tema #darikawanuntukkawan dipermudahkan Allah SWT dan menjadi kenyataan.

Penerima sumbangan dalam kalangan artis antaranya Isma Alif, Jalil Hamid, Dwan Olan, Nik Putra, Ezam EYE, Malek Zabarjad, Ali XPDC, Yazid Sejati, Rahim Maarof, Mel Wings, AR Badul serta bekas wartawan, Rosli Manah, Allahyarham Huzz, Nas Ahmad dan rakan industri, Johan Aziz.

Paling mengharukan apabila ada antara barisan artis yang menjayakan persembahan tidak mengambil bayaran atau sebahagian bayaran disumbangkan semula untuk menjayakan showcase itu.

Showcase Amal Artis Lagenda juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada pihak Cancer Survivor Malaysia serta RM1,000 kepada pesakit kanser otak (medulloblastoma) iaitu Nur Umairah Abdul Rahman, 10.

Tidak ketinggalan juga sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kepada Cancer Survivor Malaysia disampaikan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 menampilkan 10 artis iaitu Tam Spider, Ameng Spring, Mawi, Dwen, Ady Wow, Wann, Acong Sweetchild, Zarul Umbrella, Shafie Rio dan Zamani Slam yang menyampaikan rangkaian lagu-lagu hit mereka.

Sepanjang persembahan artis, suasana gamat apabila dewan turut bergema dengan nyanyian peminat yang mengiringi persembahan mereka.

Apapun, Nizam ketika ditemui mengulangi pendiriannya bahawa ini adalah showcase terakhir anjurannya bagi menutup Showcase 1.0, 2.0 dan 3.0 yang berlangsung sebelum ini.

"Terima kasih kepada peminat di Malaysia serta dari Singapura dan Brunei yang turut memberi sokongan kepada projek ini. Tidak akan ada siri yang ke 5.0 atau seterusnya.

"Harap showcase ini akan buka mata pada rakan-rakan dan penganjur lain yang mampu buat dan membantu. Jika ada anak seni muda yang lebih berkemampuan dapat meneruskan usaha murni bagi membantu rakan-rakan artis senior itu adalah lebih baik.

"Tiada yang lama maka tiada yang baru. Roda kehidupan itu ironinya berputar. Kejayaan diukur dengan mengingati bukan memerhati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:45 AM