PEMANDANGAN dunia jura di Air Terjun Susung yang unik.
PEMANDANGAN dunia jura di Air Terjun Susung yang unik.
AIR Terjun Certain tempat sesuai untuk bermandi manda.
AIR Terjun Certain tempat sesuai untuk bermandi manda.
TERDAPAT pelantar untuk bergambar di Kampung Sapit.
TERDAPAT pelantar untuk bergambar di Kampung Sapit.
Hafiz Ithnin


MELIHAT sahaja foto alam semula jadi yang dikirimkan mengenai destinasi yang dilawatinya baru-baru ini membuatkan penulis merasa terpesona dengan keindahannya meskipun tidak pernah ke sana.

Itu baharu melihat gambar, entah bagaimana rasa puas apabila menjejakkan kaki di destinasi bak 'dunia jurassic park' tersembunyi di Bumi Kenyalang itu.

Nurdaya Kamarudin berkata, sebenarnya menjejakkan kaki ke Air Terjun Susung di Empangan Bagoh, Siburan, Sarawak sudah lama menjadi impiannya.

Katanya, tiket penerbangan sudah dibeli sejak tahun lalu tetapi disebabkan jadual kerja yang tidak menentu menjadikan perancangan ke destinasi itu tergendala sehinggalah berkesempatan menjejak kaki ke sana pada awal Jun lalu.

"Saya mendapat tahu mengenai Air Terjun Susung ini menerusi perkongsian di media sosial daripada rakan-rakan yang pernah ke sana. Menariknya, lokasi air terjun ini yang sememangnya unik kerana ia seperti di dalam dunia jura.

"Apatah lagi, hutan dara di sekitar air terjun itu menjadikannya begitu unik untuk dikunjungi saya dan suami serta seorang lagi kawan yang sememangnya teringin untuk melihat sendiri keindahan air terjun berkenaan," katanya.

Jelasnya, mereka berada di Sarawak selama enam hari dan mengunjungi air terjun berkenaan termasuk di dalam salah satu jadual percutian pada kali ini kerana ia menjadi matlamat utama.

"Pada hari pertama sebenarnya kami mengunjungi Kampung Sapit di Padawan iaitu sekitar 65 kilometer (km) dari Bandar Kuching dan dua malam kami di sini untuk menikmati pemandangan tinggal 'di atas awan.'

PANORAMA hutan dara di sekitat Air Terjun Susung.
PANORAMA hutan dara di sekitat Air Terjun Susung.

"Kampung Sapit ini popular kerana ia terletak di atas bukit. Jadi apabila kita bermalam di sana, pada sebelah pagi boleh melihat pemandangan awan karpet yang indah dan merasai suasana kampung yang sebenar," katanya.

Tambahnya, usai dua malam di Kampung Sapit, mereka memulakan perjalanan menuju ke Empangan Bagoh yang terletaknya tiga air terjun terkenal iaitu Air Terjun Daen, Air Terjun Certain dan Air Terjun Susung.

"Perjalanan dari Kampung Sapit ke empangan, kami gunakan kenderaan darat yang mengambil masa sekitar setengah jam perjalanan kemudian perlu menaiki bot selama kira-kira 20 minit ke lokasi air terjun berkenaan.

"Sebaik bot tiba di tempat permulaan perjalanan ke air terjun itu, kami perlu melalui jalan denai sekitar sejam dan akan menemui Air Terjun Daen kemudian Air Terjun Certain dan terakhir Sunsung," katanya.

PERJALANAN menuju ke kawasan air terjun yang melalui jambatan buluh.
PERJALANAN menuju ke kawasan air terjun yang melalui jambatan buluh.

Jelasnya, sebaik tiba di air terjun Daen mereka tidak 'singgah' di kawasan itu terlebih dahulu kerana ingin menuju ke Air Terjun Sunsung yang berada lebih atas daripada dua air terjun yang disebutkan itu.

"Sebaik tiba di kawasan Air Terjun Sunsung, sememangnya satu pengalaman menarik yang tidak boleh dilupakan kerana pemandangan sekitarnya benar-benar unik dan tidak boleh dinafikan seperti berada di dalam Filem Jurassic Park yang pernah ditonton.

"Batu besar menjadi hamparan di bawah air terjun berkenaan dan di terdapat banyak pokok-pokok yang besar di sekelilingnya menjadikan kami leka untuk mengambil gambar," katanya.

Katanya, di kawasan Air Terjun Sunsung tidak dibenarkan mandi kerana airnya yang deras dan mereka hanya boleh merakam gambar sahaja di lokasi berkenaan.

NURDAYA dan suami di Air Terjun Daen.
NURDAYA dan suami di Air Terjun Daen.

"Jadi, untuk bermandi manda kami singgah ke Air Terjun Certain yang tidak kurang cantiknya untuk mengambil gambar, bermandi dan berkelah kerana di sini lebih sesuai untuk aktiviti berkenaan.

"Ketika kami di sana, terdapat juga pelancong lain yang mengambil kesempatan untuk mengunjungi destinasi itu kerana cuti sempena Hari Gawai. Namun, tidaklah begitu sesak untuk berehat," katanya.

Tambahnya, untuk ke destinasi itu pelancong diwajibkan untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong dengan bayaran sekitar RM70 seorang untuk mengunjungi tiga destinasi air terjun itu.

"Bagi saya ia adalah bayaran yang berpatutan kerana termasuk dengan harga menaiki bot dan membawa kami ke tiga kawasan air terjun berkenaan. Malah, kudapan juga disediakan sepanjang perjalanan," katanya.

KIYAU Campsite di Kampung Sapit menawarkan pemandangan menarik untuk bermalam.
KIYAU Campsite di Kampung Sapit menawarkan pemandangan menarik untuk bermalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:31 AM