FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Semua 21 keluarga yang menerima notis pengosongan rumah di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar raya ini boleh membuat rayuan melanjutkan tempoh pengosongan itu.

Jurucakap Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor berkata, pihaknya mendapati tidak adil untuk memberi kebenaran kepada individu yang tidak didaftarkan dalam sistem untuk menghuni PPR itu.

Menurutnya, ini kerana kemudahan itu ditawarkan kepada individu yang memohon mengikut saluran disediakan serta menepati syarat kelayakan.

"Sesetengah rumah diceroboh itu, sepatutnya ada keluarga sudah menghuninya selepas mendaftar dalam sisem sejak Disember lalu. Mereka juga sudah menjelaskan bayaran.

"Bagi individu yang menceroboh unit PPR, kami sudah mengeluarkan notis pengosongan. Kami faham mereka orang susah, tetapi mereka boleh membuat permohonan rayuan menangguhkan pengosongan.

"Sehingga kini, kami hanya terima 10 permohonan rayuan bagi melanjutkan tempoh pengosongan," katanya.

Sementara itu, bekas pengurus badan pengurusan PPR berkenaan berkata, beliau tidak pernah berurusan dengan 21 keluarga yang berpindah ke unit berkenaan.

"Mereka berurusan dengan individu tertentu saja dan saya tidak memiliki maklumat berkaitan isu yang berbangkit serta sehingga kini saya juga tidak membuat sebarang laporan polis," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 7:01 AM