BERADA pada waktu malam untuk mendapatkan sampel ketika di lapangan menjadi lumrah.
BERADA pada waktu malam untuk mendapatkan sampel ketika di lapangan menjadi lumrah.
Hafiz Ithnin


Anak kelahiran Dungun, Terengganu ini sememangnya tidak menyangka daripada sifat ingin tahu sejak dari kecil ketika tinggal di ladang mengenai fenomena alam sekitar membawanya kepada dunia penyelidikan.

Tidak sekadar itu, hasil daripada cintanya kepada kajian kunang-kunang membawa penyelidik wanita Malaysia berusia 39 tahun ini ke pentas TEDWomen iaitu satu platfom perkongsian idea paling berprestij dunia di bawah naungan TED Conference pada Oktober tahun lalu.

TED Conference di Amerika Syarikat adalah satu medan perkongsian idea global yang membawa penceramah berkaliber antarabangsa untuk mengenengahkan idea dan perkongsian unik di dalam bidang kepakaran masing-masing.

Bagi Dr Wan Faridah AkmalW Jusoh kejayaannya sebagai anak Malaysia di pentas antarabangsa itu sememangnya sesuatu rezeki yang di luar jangka.

DR Wan menyemai minat dalam penyelidikan kunang-kunang sejak daripada pengajian ijazah muda.
DR Wan menyemai minat dalam penyelidikan kunang-kunang sejak daripada pengajian ijazah muda.

"Ketika kecil saya dan keluarga tinggal di kawasan terpencil kerana mengikuti ayah yang bekerja sebagai pegawai ladang dan minat mengenai alam semula jadi itu didorong sifat ingin tahu yang mendalam sehinggalah saya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sains (alam sekitar) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Pada sekitar 2006 iaitu tahun ketiga di universiti saya mula mencari idea untuk serius di dalam bidang ini dan secara tidak sengaja diajak rakan-rakan untuk ke Kuala Sepetang di Perak bagi mencari idea penyelidikan. Di situ berputik minat saya kepada kajian kunang-kunang," kongsi Pensyarah Kanan (Biodiversiti dan Pemuliharaan), Jabatan Sains di Universiti Monash Malaysia itu kepada penulis ketika ditanya mengenai kisah awal pembabitannya di dalam bidang kajian berkenaan.

Sepanjang bergelar penyelidik serangga itu, dia yang lebih mesra disapa Dr Wan juga sudah menemui lima spesies kunang-kunang baharu di Malaysia, Thailand dan Singapura. Beliau dan rakan-rakan penyelidik turut menyemak dan memperbaharui nama satu kumpulan spesies (genus) kunang-kunang dari Jepun.

SIFAT ingin tahu Dr Wan mengenai alam sekitar menjadikan dia tertarik untuk menyelami dunia kunang-kunang.
SIFAT ingin tahu Dr Wan mengenai alam sekitar menjadikan dia tertarik untuk menyelami dunia kunang-kunang.

Nama spesies kunang-kunang yang ditemui dinamakan sebagai Pteroptyx galbina Jusoh, 2015 (Sarawak, Malaysia), Pteroptyx balingiana Jusoh, 2018 (Sarawak, Malaysia), Luciola niah Jusoh, 2019 (Sarawak, Malaysia), Pygoluciola tamarat Jusoh, 2019 (Thailand) dan Luciola singapura Jusoh & Ballantyne, 2021 (Nee Soon Swamp Forest, Singapura). Manakala, satu kumpulan spesis dinamakan sebagai Nipponoluciola Ballantyne, Kawashima, Jusoh & Suzuki, 2022 (Jepun).

Dr Wan berkata, menjadi penyelidik kunang-kunang bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana mereka perlu berdepan dengan cabaran ketika berada di lapangan dan di makmal.

"Apabila kita ingin mencari kunang-kunang ini selalunya kita perlu ke kawasan sungai pada sebelah malam. Jadi, sebagai penyelidik saya perlu mempunyai keberanian untuk berada di kawasan lapangan yang kadang-kala terdapat haiwan liar seperti buaya.

"Saya masih ingat ketika di Rembau-Linggi diNegeri Sembilan, bot saya terkandas di sebatang sungai yang mempunyai buaya dan kami perlu menolak bot kerana air sudah surut. Jadi, pengalaman ini adalah perkara yang perlu didepani saya sebagai seorang penyelidik," katanya.

Katanya, apabila menjadi seorang penyelidik kunang-kunang, keluar pada sebelah malam dan berada di kawasan sunyi menjadi rutin kepada dirinya untuk mencari kunang-kunang.

"Untuk melihat kunang-kunang ini perlu berada di kawasan gelap bagi melihat kehadirannya. Kadang-kala di dalam kumpulan penyelidik ketika berada di lapangan kajian hanya saya seorang sahaja wanita.

DR Wan menjadi penceramahan jemputan di Persidangan TED di Amerika Syarikat.
DR Wan menjadi penceramahan jemputan di Persidangan TED di Amerika Syarikat.

"Jadi, saya perlu mempunyai keberanian untuk berada di kawasan lapangan bagi melihat secara dekat kehadiran kunang-kunang sebelum proses kajian selanjutnya di lakukan di makmal," katanya.

Katanya, apabila berada di makmal pula dia perlu melakukan 'bedah siasat' terhadap kunang-kunang yang ditemui di bawah mikroskop dan perlu dilakukan secara berhati-hati kerana serangga ini amat kecil sekitar 0.5 sentimeter sahaja.

"Sekiranya didapati kunang-kunang yang ditemui itu belum ada di dalam senarai spesies yang ditemui, saya akan berikan nama kepadanya. Malah, kerja-kerja melestarikannya juga perlu dilakukan.

"Setakat ini saya sudah menemui lima spesies baharu dan satu kumpulan spesies baharu. Nama-namanya diberikan bersandarkan nama bapa saya yang menjadi nama pena peribadi sekiranya dilakukan secara solo. Manakala, jika dilakukan secara berkumpulan akan terdapat gabungan nama pena penyelidik di dalam nama spesies baharu itu," katanya.

Katanya, nama pena bersandarkan nama bapanya adalah satu penghargaan diberikan kepada arwah bapanya yang menjadi individu penting untuk dia berada di dalam dunia penyelidik.

"Ketika arwah bapa masih ada dia adalah individu yang ingin membaca kajian yang saya terbitkan. Walaupun dia bukan seorang yang memahami mengenai kajian ini tetapi ia satu penghargaan kepada saya sebagai seorang anak kerana bapa ingin membaca tulisan hasil kajian yang dilakukan.

"Jadi sebagai satu penghargaan kepadanya, saya meletakkan nama pena adalah nama bapa iaitu Jusoh. Setiap spesis baharu yang ditemui saya akan ada nama bapa di situ," katanya.

Ditanya mengenai pencapaiannya di pentas TED, katanya, dia sendiri tidak menyangka mampu berada di atas pentas perkongsian berprestij dunia itu dan ia satu penghargaan kepada dunia kunang-kunang yang perlu dihargai oleh manusia.

"Di atas pentas itu, saya sebenarnya menjadi wakil kepada serangga ini untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat dunia mengenai penjagaan dan kelestariannya.

"Jadi, masyarakat dunia mula sedar mengenai kepentingan kunang-kunang kepada ekosistem alam semula jadi dan memberi kesedaran kepada ramai pihak dalam usaha melestarikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 7:01 AM