NAIM dapat rasa dinamik yang cukup berbeza apabila bergerak dan membuat persembahan sebagai sebuah band.
NAIM dapat rasa dinamik yang cukup berbeza apabila bergerak dan membuat persembahan sebagai sebuah band.
Georgie Joseph


BERAZAM mempamerkan lagi sisi berbezanya sebagai penghibur, Naim Daniel semakin rancak mengatur perjalanan kariernya sebagai anggota band MUAH yang ditubuhkan sejak setahun setengah yang lalu.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, berkata, bergerak sebagai band nyata memberikan kepuasan berlainan buatnya. Disebabkan MUAH jugalah 'api' semangatnya tercetus kembali.

"Hakikatnya, kisah di sebalik penubuhan band ini pun sebenarnya agak menarik. Idea itu datang ketika saya dirundung situasi beremosi tidak lama dulu.

"Ada satu persembahan di acara kerajaan dan saya pelik apabila lupa lirik lagu sendiri. Apabila pulang rumah, saya terduduk rasa macam 'burnout' sebab buat perkara sama berulang-ulang.

"Saya tak dapat rasa 'api' semangat ketika itu. Ia hampir hilang sebenarnya. Seminggu saya berkurung dalam bilik dan menangis, padahal saya sudah lakukan ini sudah lama dalam karier.

"Saya cuma nak cuba sesuatu yang baru. Dari situlah tercetus untuk saya tubuhkan band. Bila buat band, saya dapat jumpa sebuah titik baru dan membantu meraih semula adrenalin itu," katanya.

Naim mahu memberikan sepenuh hatinya terhadap perjalanan karier MUAH. Kiranya, tanggungjawab digalasnya semakin bertambah dan bukan hanya fokus kepada kerjaya solo saja.

Dia mahu jenama band itu sendiri akan berdiri kukuh dalam jangka masa panjang. Ia bukan projek semusim saja atau dikenali sebagai entiti berasingan.

"Kami sudah bersama setahun setengah. Saya tidak melihat pembabitan dengan MUAH sekadar bermusim saja. Saya akan lakukan sehabis baik. Kami akan bergerak sebagai sebuah band. Bukan sebagai entiti berasingan," katanya.

Berkongsi perkembangan MUAH, Naim sebenarnya sangat tersentuh dengan sambutan memberangsangkan diterima setakat ini. Dia sendiri kagum apabila band itu sudah ada pengikut setia tersendiri.

"Kami sedang merakam EP yang memuatkan enam lagu. Sudah siapkan empat lagu. Single pertama kami dijangka akan keluar pada hujung tahun ini. Sekarang kami pun masih tengah kumpul material lagi.

"Penulisan karya dengan MUAH dan lagu sendiri akan lain. Kalau Naim solo, lagu-lagu saya lebih kepada yang berat. Dengan MUAH, lebih ringan dan santai. Tak adalah puitis sangat.

"Ramai yang ternanti dan beberapa lagu kami, orang sudah boleh nyanyi kalau buat persembahan walaupun belum dilancarkan pun. Maklum balas yang kami dapat itu amat baguslah," katanya.

Justeru, Naim memutuskan untuk membuat persembahan sebagai MUAH dan bukan solo pada acara Immersio Inspirasi Generas

i anjuran TV3 yang berlangsung di Muzium Telekom, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dihadiri sekitar 150 peminat, ternyata persembahan mereka cukup menghiburkan serta bertenaga dalam suasana intim. Naim juga sangat puas apabila dapat melakukannya dengan konsep lebih dekat dengan peminat seperti itu.

"Memandangkan ramai teringin tengok sisi berbeza saya, saya buat persembahan dengan MUAH kali ini. Ada kala, saya perlu adakan showcase yang intim supaya lebih dekat dan fokus.

"Ia boleh memberi aura berbeza berbanding buat persembahan depan ribuan orang. Bila depan penonton sekitar 100, dapat capai perhatian mereka dengan senang.

"Kadang-kadang, kalau jumlah penonton besar, saya tak dapat capai kepuasan sebegitu. Dinamik apabila saya buat persembahan seorang dan berada dalam band pun

berbeza," katanya.

Sementara itu, Naim juga dalam rangka menembusi pasaran Indonesia menerusi sebuah projek khas.

Katanya, kesibukannya akan lebih berganda dalam lapangan muzik hingga akhir tahun.

"Projek solo saya pun sedang berjalan dengan pasukan Sony Music Jakarta. Pelancaran lagu pertama pun sudah dapat kelulusan di sana. Ada empat lagu keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:55 AM