Ustaz Suhaimi Samad. FOTO Husain Jahit
Ustaz Suhaimi Samad. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya tidak menggunakan helah berpakaian ihram semata-mata untuk berada di dataran Kaabah atau mataf dan kawasan sekitarnya.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) Ustaz Suhaimi Samad berkata, tindakan itu sama sekali tidak betul kerana pemakaian ihram hanya untuk mereka yang berniat umrah atau haji.

Malah katanya, ia perbuatan yang dianggap tidak beradab kerana mengambil hak orang lain dan menipu semata-mata untuk melakukan tawaf di kawasan Mataf.

"Saya terima banyak persoalan mengenai hukum tidak buat umrah tetapi memakai ihram untuk melakukan ibadat tawaf di Mataf. Dari segi hukum memang sah tawaf berkenaan, tetapi salah dari segi adab, individu terbabit buat ibadat tapi pada masa sama menipu dengan cara berpakaian ihram untuk membolehkan tawaf di Mataf.

Ramai antara jemaah lelaki yang ingin masuk ke mataf mengenakan pakaian ihram, kerana hanya mereka yang memakai ihram sahaja dibenarkan masuk ke mataf.

"Justeru ia memang sesuatu yang tidak boleh dilakukan apabila pihak berkuasa sudah mewartakan ia sebagai peraturan bahawa arahan itu hanya untuk mereka yang berniat umrah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tawaf adalah rukun umrah kedua yang bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali yang bermula di Hajarul Aswad.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi semasa tawaf ialah suci daripada hadas dan najis, menutup aurat, niat tawaf, bermula dari sudut Hajarul Aswad, menjadikan Baitullah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan, cukup tujuh kali pusingan serta dilakukan dalam kawasan Masjidil Haram

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran diberikan dalam beberapa situasi misalnya jika suami mahu menemani isterinya menyempurnakan tawaf.

"Namun kita boleh lihat sudut lain seperti pasangan suami yang mahu menemani isteri yang masih belum sempurna ihramnya.

"Suami sudah selesai (umrah) tapi isteri belum. Jadi nak teman isteri untuk ibadat tawaf, maka dia terpaksa demi membolehkannya menemani isteri melakukan ibadah tawaf. Maka kalau dalam hal ini ia dibenarkan," katanya.

Pada masa sama Suhaimi turut menasihati jemaah haji supaya mengikut atau akur dengan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 8:02 AM