Heidi Shafiq Haidzir, 38, menunjukkan ikan bandaraya yang ditangkap untuk menghasilkan makanan ikan di kolam ternakan ikan talapia di Kampung Tebing Tinggi. FOTO AZRUL EDHAM
Heidi Shafiq Haidzir, 38, menunjukkan ikan bandaraya yang ditangkap untuk menghasilkan makanan ikan di kolam ternakan ikan talapia di Kampung Tebing Tinggi. FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Bagi sesetengah individu, ikan bandaraya tiada harga dan tidak dipandang, namun bagi seorang penternak ikan tilapia, spesies berkenaan umpama 'emas' bernilai.

Mana tidaknya, Heidi Shafiq Haidzir, 38, dapat menjimatkan 70 peratus daripada kos makanan dengan menghasilkan makanan ikan ternakannya menggunakan isi ikan bandaraya.

Dia antara penternak perintis yang menghasilkan makanan ikan secara industri daripada haiwan akuatik itu selepas melakukan pencarian dan pembacaan terhadap beberapa kajian membabitkan agrikultur.

Menurutnya, dia membuka kolam ternakan ikan tilapia di Kampung Tebing Tinggi, dekat sini, sejak Februari lalu dan kemudian menyertai Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) untuk menangkap ikan berkenaan.

"Setakat ini sudah dua kali saya menyertai komuniti untuk menangkap ikan bandaraya di sekitar Lembah Klang. Kebiasaannya ikan ini akan dilupuskan begitu sahaja.

"Melalui pembacaan terhadap kajian saintifik dalam industri agrikultur, makanan alami ikan adalah ikan itu sendiri. Selepas ditangkap, saya membawa pulang ikan bandaraya ini ke kolam untuk diproses," katanya di sini, kelmarin.

Bapa tiga anak itu berkata, selepas disiang dan dihancurkan menggunakan mesin pengisar, isinya akan dicampur dengan telur ayam, dedak anak ayam, dedak padi dan organisma pribiotik.

"Setiap bahan mempunyai fungsi tersendiri. Dedak bertujuan meningkatkan bau untuk menarik ikan makan supaya makan. Telur ayam pula sebagai sumber protein manakala probiotik membantu penghadaman.

"Selepas dicampur semua, isi ikan akan dimasukkan dalam plastik dan dibekukan. Ia bertujuan untuk menghilangkan lendir ikan bandaraya dan akan diberi makan dalam keadaan begitu," katanya.

Dia yang menetap di Semenyih, Selangor berkata, selain pembacaan dan kajian, dia menyertai kursus pembuatan makanan ternakan pada Mac lalu yang membantunya mendapatkan formula terbaik kandungan makanan ikan.

"Dalam masa terdekat saya akan berkongsi ilmu ini dalam kursus yang sedang dirancang bagi kebaikan industri kerana di negara ini kita sudah tertinggal jauh ke belakang berbanding negara jiran," katanya.

Ditanya sama ada mahu menghasilkan makanan ternakan daripada ikan bandaraya secara komersial, Heidi Shafiq berkata, buat masa ini dia belum merancang berbuat demikian.

"Ketika ini saya masih merekodkan data perkembangan ikan selain pengeluaran secara komersial memerlukan kilang lebih besar, sedangkan saya hanya buat untuk kolam sendiri dalam jumlah kecil.

"Berdasarkan rekod dan data, tumbesaran ikan tilapia yang makan makanan ini adalah normal, tidak lambat dan tidak juga cepat selain kualiti air juga memuaskan. Jadi, bagi saya, isi ikan bandaraya ini sesuai dan tidak bermasalah," katanya.

Heidi Shafiq yang kini menternak 5.6 tan ikan tilapia berkata, dia dapat menjimatkan kos kira-kira RM40,000 berbanding menggunakan makanan ikan kebiasaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 7:05 AM