LIONEL Messi. FOTO Agensi
LIONEL Messi. FOTO Agensi
Reuters

Miami: Lionel Messi mahu menjadikan Inter Miami sebagai kelab terakhirnya sebelum bersara daripada dunia bola sepak profesional.

Jelas Messi, dia tidak akan pulang ke Argentina untuk beraksi dengan mana-mana kelab ataupun ke Eropah sebaliknya akan kekal bermain dalam Major League Soccer dengan Inter Miami sahaja.

"Inter Miami akan menjadi kelab terakhir dalam karier saya," katanya yang memiliki kontrak sehingga 2025 bersama Inter Miami dan dijangka akan terus kekal bersama kelab itu.

Untuk rekod, pemenang lapan kali Ballon d'Or itu menyertai The Herons pada musim lalu selepas beraksi di Eropah bersama Barcelona dan Paris Saint-Germain.

Sepanjang beraksi untuk Inter Miami itu, Messi sudah merekodkan 12 gol dalam 12 penampilan selain melakukan 13 umpanan untuk meletakkan kelabnya selaku pendahulu liga.

"Saya suka bermain bola sepak dan menikmati latihan setiap hari dan juga perlawanan bola sepak setiap hujung minggu.

"Memang saya ada memikirkan soal kemungkinan karier saya akan berakhir dan kebimbangan itu ada. Ia satu langkah yang besar meninggalkan Eropah.

"Namun memenangi Piala Dunia sangat membantu, ia memberi perspektif dari sudut berbeza. Tetapi saya cuba untuk tidak memikirkannya. Saya hanya mahu menikmatinya.

"Saya sedar masa semakin suntuk. Jadi saya mahu menikmati masa bersama kelab, saya bernasib baik mempunyai rakan sepasukan dan kawan-kawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 9:09 AM