ERIK Ten Hag. FOTO Agensi
ERIK Ten Hag. FOTO Agensi
AFP

London: Erik ten Hag berkata beliau mahu Manchester United menggunakan sebaiknya latihan pramusim bagi meningkatkan tahap permainan anak buahnya apabila beliau dijangka kekal membimbing pasukan itu musim depan.

Terdahulu, masa depan Ten Hag menjadi persoalan selepas dikhabarkan khidmatnya bakal berakhir namun menurut laporan BBC kemungkinan sentuhan jurulatih dari Belanda masih ditagih untuk terus melatih kelab itu.

Keputusan mengekalkan Ten Hag diambil selepas satu perbincangan dilakukan dengan melihat kejayaan menjuarai Piala FA dengan menundukkan Manchester City sebagai kunci utama mengapa beliau perlu dikekalkan.

Menurut Ten Hag, 54, beliau sendiri mahu kekal berada di Old Trafford dan mahu memastikan persiapan skuad The Red Devils pada aksi pramusim berjalan lancar termasuk mengharungi beberapa perlawanan persahabatan.

Aksi pramusim pertama yang bakal diharungi United adalah berdepan kelab Rosenborg di Norway pada 15 Julai depan.

"Aksi pramusim adalah medan untuk menyediakan sebaik mungkin pasukan bagi menghadapi musim baharu agar kita dapat memulakan saingan liga dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Tempoh terbabit penting di mana waktu itu pemain dikumpulkan sekali dan berlatih mengikut sistem dimahukan, dapat memberi input corak permainan dimahukan serta paling mustahak menyediakan pasukan sebaiknya," katanya kepada laman sesawang United.

Begitupun, agak sukar buat Ten Hag untuk mengumpulkan pemain lebih awal memandangkan hampir separuh tonggak utama beraksi dalam saingan Euro 2024 dan Copa Amerika.

"Sudah tentu kami mahukan skuad penuh tetapi beberapa pemain tak dapat sertai pramusim itu kerana mereka sedang beraksi di Copa Amerika dan Euro.

"Jadi kami akan menggabungkan barisan pemain antara pemain berpengalaman bersama beberapa pemain muda yang boleh di bawa nanti pada pramusim itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 8:15 AM