GAMBAR Nur Asyikin menjadi tular selepas akaun palsu menyamar menggunakan gambar wajahnya memuat naik status menghina penunggang motosikal. FOTO NSTP
GAMBAR Nur Asyikin menjadi tular selepas akaun palsu menyamar menggunakan gambar wajahnya memuat naik status menghina penunggang motosikal. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Terkejut apabila melihat gambar wajah saya secara tiba-tiba jadi tular dan menerima pelbagai kecaman daripada netizen.

“Ia membuatkan saya takut dan trauma berkongsi gambar di media sosial,” kata Nur Asyikin Ibrahim, 30, apabila gambarnya menjadi tular selepas digunakan individu lain bagi mencipta akaun Facebook palsu.

Gambar Nur Asyikin tular sejak kelmarin apabila akaun palsu terbabit memuat naik status menghina penunggang motosikal dan turut mengundang kemarahan ramai netizen.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mula menyedari gambar wajahnya tersebar selepas dimaklumkan rakan yang melihat gambarnya dimuat naik di pelbagai kumpulan Facebook.

“Selepas diselidik, saya dapati ada tiga akaun palsu menggunakan gambar yang dicuri dari Facebook saya.

“Satu daripada akaun terbabit menggunakan nama Nurul Sakinah Samad dan pemilik akaun itu didapati dengan sengaja memuat naik status tidak baik sehingga mendatangkan kemarahan netizen. Akibatnya saya yang menjadi mangsa.

“Malah, ada antara netizen turut melemparkan perkataan kesat dan ugutan terhadap saya kerana menyangka gambar profil digunakan akaun berkenaan adalah wajah sebenar pemilik akaun Facebook itu,” katanya, semalam.

LAPORAN Harian Metro, semalam. FOTO NSTP
LAPORAN Harian Metro, semalam. FOTO NSTP

Nur Asyikin yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan berkata, dia tidak menyangka individu terbabit sanggup menggunakan gambar miliknya sehingga mengaibkan dirinya.

“Saya tidak tahu apa tujuan sebenar pemilik akaun palsu terbabit berbuat demikian sedangkan saya tidak menyakiti atau bermusuhan dengan sesiapa pun,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan semalam.

“Saya harap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dapat menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang tidak bertanggungjawab ini.

“Saya bimbang sekiranya gambar saya turut digunakan oleh akaun palsu berkenaan bagi melakukan jenayah seperti penipuan urus niaga dalam talian dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 7:59 AM