ANTARA gambar yang dirakam Wan Shukriyyah di Pantai Balok, kelmarin. FOTO ihsan Wan Shukriyyah Wan Ahamad Khalil
ANTARA gambar yang dirakam Wan Shukriyyah di Pantai Balok, kelmarin. FOTO ihsan Wan Shukriyyah Wan Ahamad Khalil
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: “Ini pengalaman pertama saya menyaksikan buih sebanyak itu. Anak-anak sangat teruja dan kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar,” kata Wan Shukriyyah Wan Ahamad Khalil, 30, mengulas mengenai gambar tular gumpalan buih di Pantai Balok, kelmarin.

Menurutnya, gambar itu diambil ketika dia bersama suami dan dua anaknya bersiar-siar di Pantai Balok pada 8.30 pagi.

Katanya, dia tidak terkejut dengan kejadian itu tetapi tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kerana menyifatkannya jarang berlaku.

"Tiada bau pelik pada buih itu hanya bau air masin. Setakat ini selepas kami bermain buih itu tiada sebarang kesan ke atas kulit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Shukriyyah yang tinggal di Ampang, Selangor, tidak menyangka gambar yang dikongsikannya itu menjadi tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Rosli Zul berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian gumpalan buih itu.

"Apa yang saya lihat gambar yang tular di media sosial itu tidak mustahil berlaku kerana fenomena yang sama pernah terjadi di Pantai di Telok Panglima Garang, Selangor, sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, gumpalan buih itu boleh terjadi hasil tindak balas air dan pasir pantai hingga menghasilkan fenomena berkenaan.

KEADAAN di Pantai Balok ketika tinjauan petang tadi. FOTO Farizul Hafiz Awang
KEADAAN di Pantai Balok ketika tinjauan petang tadi. FOTO Farizul Hafiz Awang

Tinjauan Harian Metro ke pantai itu petang tadi, mendapati fenomena gumpalan buih itu sudah tiada dan pengunjung meneruskan aktiviti di pantai itu seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 8:58 PM